Syarikat Konsesi Maklumkan Penyelenggaraan Jambatan Tamparuli Dijangka Siap Pada Ogos – Madius
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

19 Mac 2026
TAMPARULI: Kerja-kerja pembaikan jambatan di Tamparuli, khususnya melibatkan laluan Lintasan jambatan rendah (low level crossing) yang menjadi nadi perhubungan utama masyarakat setempat, dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2026.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, maklumat itu dimaklumkan syarikat konsesi, Globinaco Sdn. Bhd., dalam satu taklimat terkini mengenai status semasa jambatan tersebut di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati terdapat mendapan susulan (further settlement) pada bahagian papak konkrit (slab) atas jambatan yang dianggarkan sekitar 10mm.

“Susulan penemuan itu, kerja-kerja pemulihan perlu dilaksanakan dengan teliti. Ia melibatkan proses pengukuhan struktur (jacketing) yang memakan masa selama dua bulan, manakala kerja-kerja penanaman cerucuk (piling) bagi tiang jambatan (pier) 3 dan 4 juga dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Madius turut menyentuh mengenai perancangan pembinaan jambatan baharu yang kini berada di peringkat reka bentuk.
Beliau menzahirkan harapan agar proses tersebut dapat dipercepatkan demi kepentingan rakyat.
“Saya berharap reka bentuk jambatan baharu ini dapat disiapkan sekurang-kurangnya pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
“Lebih awal adalah lebih baik, kerana yang paling penting adalah struktur yang selamat, tahan lama, dan berkualiti,” tambah beliau.
Bagi memastikan maklumat yang sampai kepada penduduk adalah tepat dan telus, Madius telah meminta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pihak berkuasa teknikal untuk mengeluarkan kenyataan bertulis rasmi berhubung status terkini jambatan tersebut.
“Keutamaan kita pada ketika ini adalah keselamatan pengguna serta kelancaran perhubungan harian penduduk di Tamparuli.
“Saya akan terus memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan projek ini berjalan mengikut jadual,” jelasnya.
Taklimat tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada JKR, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli, Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat konsesi Globinaco dan wakil Jabatan Bekalan Air.















Comments