top of page

Tabika Perpaduan akan mula mengajar asas bahasa Kadazan, Iban, Mandarin dan Tamil

Writer's picture: Ilona AndrewIlona Andrew

5 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Tabika Perpaduan akan mula mengajar asas bahasa Kadazan, Iban, Mandarin dan Tamil bagi tujuan memupuk sifat perpaduan di kalangan kanak-kanak.


Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique berkata ini adalah sebahagian daripada empat program baharu yang akan diperkenalkan di bawah rancangan Tabika Perpaduan pendidikan awal kanak-kanak menerusi kementerian itu.


"Progam baru itu merangkumi modul Rukun Negara, pengajaran elemen perpaduan dan nilai-nilai murni sebagai modul pengajaran dan pembelajaran murid prasekolah.


"Kelas komunikasi dalam bahasa ketiga yang merangkumi bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban akan diperkenalkan di Tabika Perpaduan," katanya semasa persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin yang bertanya bagaimana prasekolah dapat memupuk sifat perpaduan dan semangat Keluarga Malaysia di kalangan kanak-kanak.


Menurut Halimah, kementeriannya akan turut meningkatkan kualiti guru-guru prasekolah untuk memastikan bahawa matlamat pemupukan perpaduan di kalangan murid dapat dicapai.


"Kementerian akan memastikan guru memiliki sekurang-kurangnya sijil diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak," tambahnya.


Setakat ini, seramai 1,574 daripada 1,781 guru prasekolah di Tabika Perpaduan merupakan graduan pendidikan awal kanak-kanak.


Menteri itu berkata, baki 207 guru yang tidak mempunyai kelayakan tersebut akan dihantar untuk mengikuti kursus dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk mendapatkan sijil tersebut.

Opmerkingen


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page