top of page

Taginambur Jaya Rancang Penganjuran Pesta Kaamatan dengan Sokongan Yayasan Sabah

  • nabalunews
  • May 7
  • 2 min read


7 Mei 2025


KOTA BELUD: Satu mesyuarat rasmi telah diadakan semalam, 6 Mei 2025 bagi merangka penganjuran Pesta Kaamatan di kawasan Taginambur Jaya, Kota Belud, dengan kerjasama strategik daripada Yayasan Sabah. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh semangat perpaduan komuniti setempat serta memelihara warisan budaya melalui pelbagai program yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.


Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taginambur Jaya, John Sindoong.


Beliau memaklumkan bahawa mesyuarat ini merupakan susulan daripada perbincangan yang telah diadakan pada 25 April yang lalu.



Menurut beliau, cadangan penganjuran ini turut mendapat sokongan positif daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang menyatakan kesediaannya untuk hadir memeriahkan dan menyempurnakan acara tersebut yang dijangka dilaksanakan pada tarikh 23 Mei 2025 ini yang melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Tamalang, Kampung Singgahmata, dan Kampung Bukit Bendera.


Antara agenda utama mesyuarat ialah penubuhan jawatankuasa pelaksana dan perincian program agar pelaksanaan pesta dapat dilaksanakan secara sistematik dan menyeluruh. Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, menyarankan agar semua aktiviti yang dirancang dapat melibatkan pelbagai peringkat umur, khususnya golongan kanak-kanak dan belia.


Cadangan pengisian program termasuklah pertandingan masakan tradisional, pertunjukan kebudayaan kanak-kanak, pertandingan sukan, serta pameran pendidikan. Selain itu, inisiatif kebajikan seperti pemberian bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas dan individu memerlukan turut dikemukakan.



Dalam pada itu, sokongan Yayasan Sabah amat dihargai. Wakil yayasan, Pegawai Penyelaras Daerah Kota Belud, Mohd. Arif Hj. Ostin, menyatakan komitmen pihaknya untuk menaja hadiah pertandingan seperti peragaan pakaian tradisional kanak-kanak perempuan dan pertandingan bina badan kanak-kanak lelaki.


Yayasan Sabah juga akan menyediakan pameran pendidikan dan pusat maklumat untuk belia yang berminat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, di samping mengadakan persembahan busking sebagai hiburan tambahan.


Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Ketua Kampung Sinti Eki dan wakil-wakil dari ketiga-tiga kampung terlibat. Kehadiran mereka menunjukkan komitmen padu semua pihak dalam memastikan kejayaan penganjuran pesta berkenaan.


Pesta Kaamatan ini bukan sekadar acara budaya, malah menjadi platform yang signifikan dalam mengukuhkan hubungan masyarakat serta mempererat kerjasama antara komuniti dan institusi luar seperti Yayasan Sabah. Ia diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan pemeliharaan nilai-nilai tradisi yang terus segar di hati rakyat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page