Taklimat awal tatacara pendaftaran dan pendataan di pejabat ADUN Kadamaian
30 Oktober 2024
KOTA BELUD: Satu sesi taklimat bertujuan untuk memberi panduan kepada petugas pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian mengenai tatacara kerja pendaftaran dan pendataan usahawan, penjaja, serta peniaga kecil di Kadamaian yang dijangka akan bermula pada minggu kedua November ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat ADUN Kadamaian, bertempat di Skyblue Piasau, Kota Belud, hari ini pada Selasa 29 Oktober.
Taklimat mengenai perkembangan terkini Sistem DataPKK ini dipimpin oleh pengasas DataPKK, Achmad Noorasryul Noortaip, dan dipengerusikan oleh Dr. Rizoh Bosorong, Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
DataPKK ialah sistem pendataan bersepadu dalam bentuk web yang dirancang khusus untuk pembangunan dan pusat rujukan bagi usahawan, penjaja, dan peniaga kecil di Sabah.
Sistem ini diwujudkan untuk memudahkan proses pendaftaran, pendataan, dan pembangunan usahawan kecil.
Di samping itu, DataPKK juga bertujuan menjadi rakan strategik bagi pembangunan keusahawanan di peringkat wilayah Sabah dan nasional.
Objektif DataPKK dalam Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027 adalah memperkukuhkan ekosistem penjaja dan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.
Memperkasa daya saing penjaja dan peniaga kecil, memantapkan modal insan dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil, memudahkan akses kepada fasiliti pembiayaan serta mengadaptasi teknologi dan pendigitalan dalam kalangan peniaga kecil.
Menurut Achmad Noorasryul, DataPKK bermatlamat untuk menjadi rakan strategik utama dalam pembangunan usahawan kecil di Malaysia, selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN30).
Melalui visi dan misinya, DataPKK menyokong pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan kemajuan dalam aspek digitalisasi.
Dr. Rizoh menegaskan bahawa pelaksanaan program DataPKK di Kadamaian akan berfungsi sebagai pemudah cara yang efektif bagi pihak pengurusan kawasan, usahawan, penjaja, dan peniaga kecil untuk mengenal pasti keperluan-keperluan utama mereka.
Dengan adanya sistem pendataan yang teratur, pihak berwajib dapat memahami cabaran dan keperluan spesifik setiap peniaga, seterusnya membantu merancang bantuan, sokongan, dan program pembangunan yang lebih menyeluruh dan bersasar.
Beliau menambah bahawa program ini juga dijangka akan meningkatkan kecekapan dalam penyampaian maklumat, menyediakan kemudahan akses kepada fasiliti pembiayaan, serta memastikan semua pihak dapat memanfaatkan peluang digitalisasi dan kemajuan teknologi
Comments