Taklimat Khas Pelan Induk Pembangunan Kampung 5 Zon di Kadamaian rancang pembangunan sistematik kampung
9 Oktober 2024
KOTA BELUD: Kepentingan perancangan strategik jangka panjang untuk memastikan pembangunan kampung lebih sistematik dan inklusif, dibincangkan dalam satu taklimat khas berhubung Pelan Induk Pembangunan Kampung bagi lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) utama, iaitu Kiau, Kaung, Kebayau, Melangkap dan Narinang.
Taklimat ini telah diadakan pada 7 Oktober lalu di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Skyblue Piasau, Kota Belud dan melibatkan penyertaan semua Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari 20 buah kampung yang berada di bawah kawasan seliaan Pemaju Mukim UPPM Kadamaian, Anichlose Kesimin.
Taklimat bertujuan untuk membincangkan hala tuju pembangunan yang lebih komprehensif dan berstruktur di kampung-kampung terbabit, selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diilhamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 mula dicetuskan pada tahun 2020 ketika Ewon menjawat jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Perbincangan ini menekankan kepentingan perancangan strategik jangka panjang untuk memastikan pembangunan kampung dilaksanakan secara lebih sistematik, menyeluruh, dan inklusif yang mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keperluan infrastruktur, pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar, serta peningkatan kualiti hidup penduduk setempat.
Ini kerana dengan adanya pendekatan yang terancang dan bersepadu, kampung-kampung di 5 Zon di Kadamaian dapat berkembang secara mampan, sekali gus mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar.
Selain itu, penglibatan komuniti dalam proses perancangan ini juga amat penting untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan selaras dengan aspirasi dan keperluan sebenar masyarakat kampung.
Sesi ini juga membuka ruang kepada komuniti tempatan untuk berbincang mengenai usaha memanfaatkan peluang bagi meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai inisiatif ekonomi, khususnya dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
Antara isu utama yang dibincangkan termasuklah status pembangunan infrastruktur di kampung-kampung terbabit, dengan fokus kepada projek-projek yang masih dalam perancangan dan yang telah dilaksanakan.
Selain itu, perhatian turut diberikan kepada peluang-peluang ekonomi bagi komuniti setempat melalui aktiviti keusahawanan dan koperasi, yang dilihat sebagai instrumen penting dalam memperkasakan ekonomi kampung.
Taklimat khas ini diharapkan dapat memberi panduan dan hala tuju yang jelas untuk pembangunan kampung-kampung di Kadamaian, sejajar dengan aspirasi untuk memajukan kawasan luar bandar dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.
Comments