Taklimat Pendaftaran Murid Tahun 1 Berjalan Lancar
- nabalunews
- Feb 26
- 1 min read

Oleh: Kidd
26 Februari 2026
KOTA BELUD: Seramai 30 ibu bapa dan penjaga telah menghadiri Taklimat Pendaftaran Murid Tahun 1 Kohort Umur 6 dan 5 bagi Kalendar Akademik 2027 yang berlangsung pada jam 8.30 pagi di Dewan Terbuka Kampung Kaung, di sini.
Taklimat tersebut melibatkan ibu bapa dan penjaga murid Prasekolah Sekolah Kebangsaan Kaung serta Tadika Kemas Kampung Lobong-Lobong. Program ini bertujuan memberikan penerangan serta maklumat terperinci berkaitan proses pendaftaran dan kemasukan murid ke Tahun 1 bagi sesi akademik 2027.
Program berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Sekolah Kebangsaan Kaung dan dipengerusikan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kaung, Zaiman Samah. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan ibu bapa memahami syarat kelayakan umur 6 dan 5 , dokumen yang diperlukan serta tempoh pendaftaran yang telah ditetapkan.

Menurut pihak penganjur, taklimat ini diadakan bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar dan teratur, selain mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan ibu bapa. Guru-guru SK Kaung turut hadir untuk menjawab pertanyaan serta memberikan panduan lanjut kepada ibu bapa yang terlibat.
Program berakhir dengan sesi soal jawab dan perbincangan ringkas antara pihak sekolah dan ibu bapa, sekali gus memperkukuh kerjasama demi memastikan kelancaran kemasukan murid ke Tahun 1 bagi sesi 2027.















Comments