Taman-Taman Sabah laksana larangan beg plastik mulai 1 Januari 2026
- nabalunews
- 14 minutes ago
- 1 min read

5 Disember 2025
KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) akan melaksanakan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di semua kawasan taman di bawah kelolaannya mulai 1 Januari 2026.
Menerusi satu kenyataan, TTS memaklumkan larangan berkenaan sebagai langkah tegas melindungi alam semula jadi serta ekosistem sensitif di negeri ini.
“Larangan ini dilaksanakan bagi melindungi alam semula jadi yang rapuh dan hidupan liar, khususnya ekosistem marin dan hutan daripada pencemaran serta kerosakan jangka panjang akibat sisa tidak terurai.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen Taman-Taman Sabah dalam pemuliharaan alam sekitar serta menyokong inisiatif kelestarian global,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pengunjung dinasihatkan supaya membawa beg mesra alam ketika memasuki kawasan taman bagi memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.














