top of page

Tambang bot penampung Menumbok-Labuan kembali pada harga asal

  • nabalunews
  • Nov 11
  • 1 min read

ree

11 November 2025


KOTA KINABALU: Kadar tambang bot penumpang bagi laluan Menumbok–Wilayah Persekutuan Labuan yang sebelum ini dinaikkan kepada RM12 kini dikembalikan kepada harga asal RM9, berkuat kuasa hari ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dicapai hasil dua siri pertemuan dengan agensi kerajaan berkaitan serta Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok.


Siri pertemuan itu bagi membincangkan isu kenaikan harga tambang yang dikuat kuasakan persatuan tersebut pada 1 November lalu.


"Hasil muafakat dan perbincangan yang berlangsung, persetujuan telah dicapai supaya kadar tambang penumpang dikembalikan kepada harga asal RM9 berbanding RM12 yang sebelum ini dikenakan sebagai surcaj bahan api,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Azmin berkata, KPDN dan agensi kerajaan berkaitan akan menyegerakan kelulusan subsidi petrol RON95 kepada operator bot yang layak melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 13 November 2025.


Sebagai langkah interim, katanya operator bot yang layak juga dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos tambahan bahan api menerusi sistem yang sama, berkuat kuasa hari ini.


"Tuntutan bayaran balik untuk tempoh 30 September hingga 31 Oktober 2025, iaitu ketika harga tambang belum dinaikkan dan pengusaha terpaksa menanggung kos tambahan juga akan dipertimbangkan dengan syarat disertakan rekod pembelian,” jelasnya.


Dalam pada itu, Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok atas kerjasama erat dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut.


Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap peranan bekas wakil rakyat Kuala Penyu, Datuk Limus Jury yang membantu memastikan kebajikan penumpang dan pengusaha bot diberikan perhatian sewajarnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page