Tamu Besar Kota Belud 2026: Pendekatan Inklusif Jadi Teras Perancangan
- nabalunews
- 49 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
26 Februari 2026
KOTA BELUD: Pejabat Daerah Kota Belud menggerakkan persiapan awal penganjuran Tamu Besar Kota Belud Tahun 2026 (TBKB-2026) dengan pendekatan inklusif menjadi teras utama perancangan bagi merealisasikan penganjuran yang lebih gemilang.
Mesyuarat Pembentukan Jawatankuasa Pelaksana yang dipengerusikan Pegawai Daerah Kota Belud, Petar Jiton hari ini, menghimpunkan seramai 48 peserta terdiri daripada ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri, agensi pelancongan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan di daerah ini.
Menurut Petar, pendekatan inklusif itu bertujuan mendapatkan input menyeluruh daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan elemen tradisi dan warisan yang menjadi taruhan utama penganjuran tamu besar dapat dipelihara.

Jawatankuasa yang akan dibentuk nanti bakal bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perancangan dan perlaksanaan program berkenaan, termasuk aspek promosi, pengurusan pengunjung, penglibatan komuniti serta pemuliharaan elemen kebudayaan tradisional.
Tamu Besar Kota Belud merupakan pesta tahunan terbesar di daerah ini. Acara yang menjadi perhimpunan terbesar masyarakat setempat ini bukan sekadar platform perdagangan, tetapi juga medan mempamerkan kekayaan budaya dan meraikan warisan Sabah yang pelbagai.
Turut hadir, Dr. Rizoh Bosorong selaku wakil Timbalan Ketua Menteri III merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, wakil-wakil dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Tempasuk, Usukan dan Pintasan, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian Fandhy Rajin serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.











