Tamu Besar Kota Belud lebih istimewa dan menarik tahun ini
- nabalunews
- Sep 18, 2024
- 2 min read

18 September 2024
KOTA KINABALU: Tamu Besar Kota Belud, yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 25 Oktober ini dijangka menjadi acara yang lebih istimewa dan berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Diyanah Abdullah, menjangkakan lebih 50,000 pengunjung akan memeriahkan Tamu Besar Kota Belud, yang diadakan dari 25 hingga 27 Oktober ini.
Katanya, pelbagai program menarik telah disusun yang menampilkan keunikan budaya dan tradisi Kota Belud.
"Kita bertuah kerana acara ini mendapat sokongan penuh kerajaan negeri, melalui kerjasama Pejabat Daerah Kota Belud dan seluruh komuniti, serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tamu Besar ini adalah acara tahunan yang penting untuk menarik lebih ramai pelancong ke Kota Belud, sekaligus mempromosikan keindahan budaya tempatan," kata Diyanah.
Bercakap kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini, Diyanah menjemput orang ramai untuk berkunjung ke Tamu Besar Kota Belud.
“Tahun ini, Tamu Besar akan menjadi lebih istimewa dengan pelbagai acara yang dirancang. Antara acara tradisional yang menjadi tumpuan ialah perlumbaan kerbau dan perarakan kuda berhias, yang melambangkan keunikan budaya di Kota Belud. Ini merupakan antara elemen utama yang menjadikan daerah ini begitu istimewa,” tambah beliau.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang membeli hasil kraf tangan tempatan yang unik dan berbeza daripada hasil kraf dari daerah-daerah lain di Sabah.
"Kami bangga dengan identiti dan warisan budaya yang kaya di Kota Belud, dan saya mengajak semua untuk datang mengalami sendiri keindahan serta keistimewaan ini," kata Diyanah lagi.
Dengan pelbagai acara menarik dan unik yang telah dirancang, Tamu Besar Kota Belud 2024 pasti akan menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat para pengunjung tempatan dan antarabangsa, katanya.
Kunjungan hormat ke atas Tun Juhar bertujuan menyampaikan secara rasmi jemputan untuk menghadiri seterusnya merasmikan Tamu Besar Kota Belud.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, serta pengerusi Sabah Softwood yang juga ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari dan Ketua Perhubungan ADUN Kadamaian, Carlye Lajimin yang mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Winnie Anggon dan Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain.
Kommentare