Tanah Runtuh: Dua Maut, Seorang Masih Gagal Ditemui
- nabalunews
- Sep 15
- 1 min read

15 September 2025
PAPAR: Dua maut manakala seorang lagi masih hilang selepas rumah mereka ranap dihempap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa berjaya ditemui selepas tertimbus di dalam runtuhan tanah.
Operasi mencari seorang lagi mangsa sedang giat dijalankan dan setakat jam 5 petang tadi, mangsa masih gagal ditemui.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.20 pagi.
Katanya, sepasukan 16 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, kejadian melibatkan tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah yang dihuni tiga orang mangsa.
“Usaha mencari dan menyelamat ketiga-tiga mangsa terus dijalankan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang dikerah ke lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, dua mangsa berjaya ditemui namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian.
Katanya, setakat ini, identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat diperolehi dan mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Usaha mencari seorang lagi mangsa sedang giat dijalankan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.


















Comments