top of page

Tangani Penyalahgunaan Ketum Perlu Pendekatan Bersepadu - Jauteh

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read


Oleh: Romie Stanley DGuns


RANAU, 27 Ogos: Isu penyalahgunaan daun ketum di Sabah memerlukan pendekatan bersepadu merentas agensi serta penglibatan aktif masyarakat dan tidak seharusnya bergantung kepada tindakan tangkapan dan rampasan semata-mata.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kejayaan usaha menangani isu itu perlu dinilai berdasarkan keberkesanan membongkar rangkaian bekalan serta mengurangkan kemasukan dan penyalahgunaan daun ketum di Sabah.


Beliau berkata, tanggungjawab memerangi penyalahgunaan daun ketum bukan terletak di bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara pelbagai agensi serta sokongan padu komuniti setempat.


“Justeru, PDRM Sabah akan terus memperkukuh risikan, operasi dan tindakan penguatkuasaan, di samping memperkasakan pendekatan community policing, pendidikan, advokasi dan pencegahan.


“Fokus utama adalah mengenal pasti sumber bekalan, mengesan laluan kemasukan, membongkar rangkaian pengedaran serta memutuskan rantaian bekalan daun ketum ke Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Kesedaran dan Pemantapan Komuniti Terhadap Penyalahgunaan Daun Ketum anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, di sini, semalam.


Jauteh berkata, bengkel berkenaan juga penting sebagai platform untuk memperkukuh jaringan kerjasama dan perkongsian maklumat antara agensi serta masyarakat dalam menangani isu penyalahgunaan daun ketum secara lebih menyeluruh.


Bengkel sehari itu menghimpunkan wakil daripada Jabatan Perhutanan Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Peguam Negara bagi memperkukuh kefahaman serta menyelaras pendekatan dalam menangani isu berkenaan.


Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus memperkukuh kerjasama dan perkongsian maklumat bagi memastikan Sabah kekal aman, selamat dan sejahtera selaras dengan semangat “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.


Turut hadir Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Polis Alhusin Halil; Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sany; Pegawai Khas Kebajikan ADUN Karanaan, Suzani Gipul; Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda; PPM Paginatan, Petin Kilou; Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri serta pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi serta masyarakat setempat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page