‘Tea Talk Japen’ Sabah platform tingkat kesedaran Rohani
- nabalunews
- 14 minutes ago
- 1 min read

27 Februari 2026
PENAMPANG: Penganjuran Program Tea Talk Edisi Khas Ramadan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Sabah menjadi antara platform berkesan dalam meningkatkan kesedaran serta pemahaman masyarakat mengenai penghayatan nilai rohani sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Japen Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata program berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan TikTok rasmi jabatan itu bagi membolehkan lebih ramai masyarakat mengikuti pengisian ilmiah yang disampaikan.
“Inisiatif ini amat bertepatan dan selari dengan peranan teras Japen Sabah dalam menyalurkan maklumat bermanfaat kepada orang ramai melalui pelbagai medium komunikasi.

“Pendekatan digital ini merupakan kaedah komprehensif yang mampu menarik minat kumpulan sasar secara lebih meluas, pantas dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Tea Talk JAPEN Sabah Edisi Khas Ramadan, di sini, pada Khamis.
Program bual bicara itu menampilkan Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Issraq Ramli sebagai panel jemputan yang membincangkan tajuk “Ramadan Bukan Sekadar Berpuasa”.
Sementara itu, Issraq berkata program seumpama itu wajar diteruskan sebagai acara tahunan termasuk bersempena hari-hari kebesaran Islam kerana mampu membantu masyarakat memperkukuh pengetahuan dan penghayatan kerohanian.
"Tahniah atas penganjuran program yang membawa banyak manfaat kepada umat Islam, kita dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan pahala dalam bulan Ramadan.
“Kita berharap program ini dapat diperkasakan lagi dengan menarik lebih ramai penyertaan secara bersemuka di samping memanfaatkan sepenuhnya semua platform media sosial,” katanya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Azman Sipan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Peter Tong Ah Pin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara Norehan Kipli serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Sulia Banying Gihang.











