TEKUN Nasional sasar jualan RM100,000 menerusi Karnival TEKUN Madani Kota Belud
- nabalunews
- 8 hours ago
- 2 min read

16 Mei 2025
KOTA BELUD: TEKUN Nasional menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM100,000 menerusi penyertaan 166 usahawan sepanjang tiga hari Karnival TEKUN Madani Kota Belud sempena Pesta Kaamatan 2025, di Dewan Kadamaian Square, di sini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan kehadiran ramai pengunjung ke Karnival itu.
“Kita menasasarkan lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari Karnival (15 - 17 Mei) yang dianjurkan bersempena Pesta Kaamatan yang memang mendapat sambutan hangat bukan sahaja daripada pengunjung tempatan, malah pelancong asing yang ingin menyaksikan keunikan warisan budaya Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian karnival tersebut, hari ini.
Ewon berkata, kementeriannya sentiasa komited memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah dan Sarawak menerima perhatian sewajarnya, sejajar dengan peranannya sebagai wakil dari negeri Sabah dalam Kerajaan Persekutuan.
“Saya melihat ini sebagai satu tanggungjawab besar. Sebagai anak Sabah yang diberi kepercayaan di Kerajaan Persekutuan, saya mahu memastikan KUSKOP benar-benar dekat dengan keperluan rakyat di Borneo, terutamanya PMKS, penjaja dan peniaga kecil yang sebelum ini merasakan wujud jurang bantuan antara negeri-negeri di Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, pelbagai program, skim dan inisiatif telah diperkenalkan khusus untuk usahawan Sabah dan Sarawak, termasuklah peluang baharu untuk berniaga secara dalam talian tanpa perlu menyewa premis perniagaan.
“Kementerian telah memperkenalkan platform e-dagang menerusi kerjasama strategik antara TEKUN Nasional dan TikTok Shop.
“Ini memberi peluang kepada usahawan yang tidak mampu menyewa kedai atau mendapatkan lot niaga di pusat perniagaan untuk menjual produk mereka secara dalam talian,” katanya.
Ewon berkata, pendekatan baharu ini menunjukkan hasil positif apabila prestasi jualan usahawan di Sabah mencatat peningkatan memberangsangkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Saya berbangga dengan pasukan KUSKOP yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik, tidak hanya di Sabah dan Sarawak, malah di seluruh negara.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara kementerian, ketua jabatan serta warga kerja kementerian yang sentiasa komited,” katanya.
Ewon berharap pendekatan inklusif ini dapat mengikis perasaan terpinggir dalam kalangan usahawan di Sabah dan Sarawak, seterusnya menjadikan pembangunan keusahawanan di Malaysia lebih seimbang.
“Saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI mahu memberikan yang terbaik kepada semua usahawan di seluruh negara, dan saya akan pastikan Sabah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Karnival TEKUN Madani Kota Belud yang berlangsung sehingga 17 Mei ini menghimpunkan usahawan dari pelbagai sektor termasuk makanan, pakaian tradisional, kraftangan dan perkhidmatan.
Selain itu, turut diadakan pameran agensi KUSKOP dan kerajaan, Jual Sambil Berhibur Bersama Tik Tok, Pertandingan Karaoke, Pertandingan Rombituon Kaamatan, Pertandingan Mewarna, Pakaian Beragam Kanak- Kanak, Pertandingan Unduk Ngadau dan Cabutan Bertuah.
Pelaksanaan program ini diharap dapat merancakkan lagi aktiviti keusahawanan dan sosioekonomi setempat khususnya di Kota Belud seterusnya meningkatkan daya saing usahawan tempatan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan.
Comments