top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tekun Nasional sedia dana RM800 juta bantu usahawan informal dan mikro

3 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


BUKIT MERTAJAM: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Tekun Nasional diperuntukkan RM800 juta pada tahun ini yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 36,200 usahawan informal dan mikro di seluruh negara.


Beliau berkata, berdasarkan status penyaluran pembiayaan sehingga Jun, Tekun telah meluluskan sebanyak RM511 juta kepada 28,506 usahawan.


“Pada tahun ini Tekun Nasional menerima peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM330 juta. Bagaimana pun, Tekun Nasional mensasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM600 juta dengan menggunapakai peruntukan dalaman.


“Oleh itu, saya telah meminta supaya peruntukan yang disasarkan oleh Tekun disemak semula dan hasilnya peruntukan tersebut telah ditambah daripada RM600 juta kepada RM800 juta.


“Saya berharap dengan tambahan peruntukan ini dapat membantu usahawan informal dan mikro dalam perniagaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perjumpaan Usahawan Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), di Dewan Wisma Al-Ansar, Masjid Al Muhajirin Seberang Jaya, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Zamri Salleh, Pengerusi Tekun Nasional Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Dato Adam Abdul Ghani.


Ewon berkata, selain pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro, Tekun juga menyediakan pembiayaan jangka pendek enam bulan (factoring) kepada usahawan kontraktor Bumiputera menerusi Skim Kontrak-i.


“Pada tahun ini, TEKUN memperuntukkan RM200 juta dengan sasaran lebih 3,100 usahawan kontraktor bumiputera di seluruh negara dijangka menerima manfaat ini.


“Setakat Jun lalu, seramai 1,706 usahawan kontraktor mendapat pembiayaan Skim Kontrak-i berjumlah RM141.4 juta.,” katanya.


Beliau berkata, sejak diwujudkan pada tahun 2015 sehingga kini, TEKUN berjaya menyalurkan sebanyak RM1.33 bilion kepada 12,492 usahawan kontraktor Bumiputera di seluruh negara.


“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 175 usahawan kontraktor Bumiputera mendapat pembiayaan berjumlah RM16.5 juta bagi tempoh yang sama.


“Oleh kerana sambutan menggalakkan KUSKOP melalui Tekun Nasional telah menaikkan had pembiayaan maksimum Skim Pembiayaan Kontrak-i sehingga RM200 ribu mulai Januari 2023,” katanya.


Ewon berkata, KUSKOP juga telah mengambil inisiatif mewujudkan Program Groombig bertujuan membantu usahawan di bawah agensinya mendapatkan pembiayaan yang lebih besar, latihan dan pembangunan kapasiti serta pembangunan produk usahawan yang disediakan oleh agensi lain di bawah kementerian itu.


“Contohnya usahawan Tekun yang berkelayakan dan mempunyai rekod bayaran balik yang baik akan disokong oleh TEKUN untuk mendapatkan pembiayaan melebihi RM100 ribu daripada agensi lain di bawah KUSKOP.


“Sehingga kini di bawah Progam Groombig seramai 119 usahawan TEKUN telah mendapat pembiayaan daripada PUNB, Bank Rakyat dan SME Bank berjumlah RM17.9 juta.


“Daripada jumlah itu seramai 23 usahawan TEKUN mendapat pembiayaan daripada PUNB berjumlah RM5.5 juta, 69 orang mendapat pembiayaan daripada Bank Rakyat berjumlah RM3.94 juta dan 27 orang mendapat pembiayaan daripada SME Bank berjumlah RM8.5 juta,” katanya.


Selain itu katanya, TEKUN juga turut memberi pembiayaan kepada 31 usahawan AIM yang layak dengan nilai pembiayaan RM986 ribu.


“Saya berharap dengan sokongan dan kerjasama semua agensi kementerian, kita dapat meningkatkan taraf hidup rakyat sekaligus mempercepatkan dan merealisasikan transformasi sosioekonomi negara ke arah menjadikan negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

bottom of page