top of page

Tempat Pembuangan Penuh, Lori Sampah Nazak, Penduduk Kota Belud Hilang Sabar

  • nabalunews
  • Apr 5
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


5 April 2026


KOTA BELUD: Tempat pembuangan sampah di pekan Kota Belud dilaporkan penuh dan tidak terurus, menyebabkan penduduk hilang sabar serta meluahkan kekecewaan di media sosial.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah tampil memberi respons dengan memaklumkan bahawa MDKB hanya mempunyai dua buah lori sampah dan kedua-duanya dalam keadaan nazak.


Beliau berkata, pihaknya sudah memohon lori baharu serta tong sampah baharu daripada kementerian bagi kegunaan MDKB, dan meminta penduduk supaya bersabar buat sementara waktu.


Longgokan sampah yang tidak diangkut dengan segera itu dilaporkan berlaku di laluan utama pekan, sekali gus menimbulkan persoalan penduduk mengenai keberkesanan pengurusan sisa pepejal oleh MDKB.


Beberapa netizen mencadangkan agar Kota Belud mempunyai pusat pelupusan sampah sendiri bagi mengelakkan lori terpaksa bergerak jauh ke Telipok atau Sepanggar, yang dikatakan mempercepatkan kerosakan lori.


Antara idea lain yang dikemukakan termasuk pelaksanaan program kitar semula terutamanya bagi plastik dan botol, penambahan tong sampah besar di lokasi strategik seperti tapak tamu mingguan, pasar besar, pasar ikan, dan setiap zon kedai di pekan.


Seorang penduduk berpandangan bahawa masyarakat Kota Belud sebenarnya mengutamakan kebersihan berdasarkan gambar yang tular – kesemua sampah dibungkus dalam plastik – namun masalah sebenar ialah tempat pembuangan itu sendiri yang penuh dan proses pengangkutan MDKB yang lambat bertindak.


Terdapat juga cadangan untuk mengkaji semula kadar gaji pekerja kebersihan bagi menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan.


Sementara itu, penduduk menyuarakan kekecewaan terhadap MDKB yang dianggap cuai dalam penyelenggaraan lori dan pengurusan sampah secara menyeluruh.


Beberapa netizen pula menyatakan keyakinan kepada Fairuz yang dilihat mempunyai visi lebih jelas untuk daerah Kota Belud, malah ada yang mencadangkan beliau sebagai calon Ahli Parlimen Kota Belud pada masa depan, sambil mengkritik Ahli Parlimen sedia ada yang disifatkan gagal menguruskan kawasan walaupun sudah beberapa penggal.


Tegas mereka, janji semasa pilihan raya sahaja tidak memadai, sebaliknya tindakan segera diperlukan sebelum masalah ini menjejaskan imej dan kesihatan penduduk bandar.


Setakat ini, pihak MDKB belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page