top of page

Tenaga Nuklear Penting untuk Sokong Revolusi AI dan Tenaga Lestari di Malaysia: Madius

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

25 Ogos 2025


TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini, menegaskan kepentingan pelaburan dalam tenaga nuklear sebagai langkah strategik untuk menyokong perkembangan Revolusi Kecerdasan Buatan (AI) serta memastikan bekalan tenaga yang bersih dan mampan di Malaysia.


Dalam ucapan perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlesenan Tenaga Atom (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Madius menjelaskan bahawa pelaburan dalam tenaga nuklear adalah penting bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, terutamanya dalam sektor pusat data yang kritikal untuk teknologi AI.


Beliau menekankan bahawa sektor ini memerlukan sumber tenaga yang besar dan berterusan bagi menyokong operasi 24 jam, dan tenaga nuklear dapat memberikan penyelesaian jangka panjang untuk cabaran ini.


“Kita tahu bila dengar “nuklear” cepat terbayang bom. Tetapi yang kita bahaskan dalam RUU hari ini bukan tentang bom.


“Dengan kemajuan pesat dalam teknologi AI, Malaysia perlu memastikan kita mempunyai sumber tenaga yang berdaya saing dan tidak bergantung sepenuhnya pada tenaga fosil yang semakin menurun.


“Tenaga nuklear menyediakan tenaga bersih serta memberi kestabilan bekalan tenaga untuk operasi pusat data yang tidak pernah berhenti," jelasnya.


Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu turut mengambil contoh langkah negara-negara seperti Amerika Syarikat dan China yang telah memanfaatkan tenaga nuklear untuk memenuhi permintaan tenaga yang tinggi, terutamanya bagi sektor pusat data.


“Sebagai contoh, Amerika Syarikat menggunakan nuklear untuk menghasilkan kira-kira 15% daripada tenaga mereka yang diperlukan untuk pusat data.


“Manakala China pula menggunakan sekitar 10% daripada kapasiti tenaga mereka untuk tujuan yang sama.


“Malaysia perlu bersiap sedia mengikuti jejak langkah tersebut memandangkan kemunculan Small Modular Reactors (SMR) yang dijangka diterima secara komersial pada 2030-2035, sekali gus memberikan peluang untuk negara ini melaksanakan tenaga nuklear dalam skala yang lebih kecil dan terkawal,” katanya.


Tambah Madius, Malaysia telah memulakan kajian mengenai tenaga nuklear sejak 1970-an, namun penggunaan tenaga nuklear dalam penjanaan elektrik tidak diteruskan selepas penemuan sumber minyak dan gas.


“Walau bagaimanapun, saya percaya dengan permintaan yang meningkat dan cabaran dalam sektor tenaga dan teknologi, pelaburan dalam kuasa nuklear adalah penting untuk memenuhi keperluan dalam digitalisasi serta Revolusi AI.


“Ia juga seiring dengan usaha ke arah mencapai Net Zero Carbon pada 2050 sekali gus memastikan Malaysia mempunyai sumber tenaga yang lebih bersih, selamat, dan mampan pada masa depan,” ujar bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu lagi.

 
 
 

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page