top of page

Teras kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlulah datangnya daripada parti yang berbeza: Armizan

  • nabalunews
  • Jul 6
  • 3 min read

Armizan  menerima cenderakenangan daripada Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Melalap Jamawi Jaafar.
Armizan menerima cenderakenangan daripada Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Melalap Jamawi Jaafar.

6 Julai 2025


TENOM: Kepentingan mengekalkan parti lokal sebagai teras kepada Kerajaan Negeri perlu terus ditekankan dalam usaha memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri secara antara kerajaan dan bukannya hubungan dalam parti yang sama.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, teras kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlulah datangnya daripada parti yang berbeza.


Katanya, ini untuk memastikan hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah berbentuk antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya intra parti (intra-party).


"Bentuk hubungan inilah yang mendasari hubungan di antara teras Kerajaan Persekutuan pada hari ini iaitu PH, dan teras Kerajaan Negeri iaitu GRS.


“Teras kepada pusat adalah parti nasional dan teras kepada negeri adalah parti lokal" katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap , Kali Ke -3 , 2025 yang berlangsung di Dewan Seri Panglima Antanom di sini pada Sabtu.


Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, antara bukti jelas kepentingan model politik ini adalah penggubalan Akta CCUS 2025 iaitu Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon yang telah diluluskan di Parlimen pada Mac 2025 (Dewan Rakyat – 6 Mac 2025, Dewan Negara – 25 Mac 2025).


"Pada peringkat awal perancangan pemakaian RUU CCUS adalah untuk seluruh Malaysia. Namun, Kabinet Persekutuan bersetuju supaya RUU tersebut dipinda kepada pemakaian hanya untuk Semenanjung Malaysia dan Labuan setelah mendengar pandangan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui GRS dan Kerajaan Negeri Sarawak yang diterajui GPS" katanya.


Perkara ini juga katanya, berlaku disebabkan Kerajaan Persekutuan diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang amat komited berpegang kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Kita tidak menolak parti nasional dan hakikatnya Kerajaan Negeri Sabah juga dianggotai oleh Ahli Jemaah Menteri dan ADUN daripada PH.


“Namun, penting untuk dipastikan teras kepada Kerajaan Negeri adalah parti lokal untuk memastikan kepentingan negeri menjadi agenda paling utama" jelasnya.


Ini katanya, untuk memastikan agenda yang melibatkan kepentingan negeri tersebut akan sentiasa dibincangkan dalam struktur antara dua peringkat Kerajaan (inter-governmental) dan tidak dirundingkan dalam struktur dalaman parti (intra-party) terlebih dahulu.


Beliau berkata, penggubalan Akta CCUS 2025 berbeza dengan penggubalan Akta Laut Wilayah 2012.


“Hari ini ada pemimpin dan parti tertentu yang tiba-tiba lantang berbicara tentang hak negeri termasuk mempertikaikan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 sebagai modal politik.


“Akta ini, membataskan kuasa negeri kepada perairan hanya tiga batu nautika sahaja dan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan GRS terus menegaskan bahawa ia tidak terpakai kepada Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN Sabah.


"Ada kalangan yang mempertikai ini merupakan Ahli Parlimen dan ada yang berstatus Menteri Persekutuan pada tahun 2012.


“Saya fikir mereka perlu jelaskan kenapa hanya bangkitkan hari ini. Mengapa mereka tidak mempertikaikan apabila RUU Laut Wilayah dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen pada tahun 2012 sehingga ia lulus sebagai Akta Parlimen.


“Ini adalah 'rekod' parti dan 'pemimpin' yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah" tegasnya.

Menurut Armizan semua ini berlaku kerana dua faktor iaitu pertama, perbezaan teras kedua-dua peringkat Kerajaan di antara tahun 2012 dan 2025.


Katanya, pada Tahun 2012 kedua-dua peringkat kerajaan bukan sahaja diterajui, malah didominasi oleh sebuah parti nasional yang sama.


“Berbeza pada tahun 2025 teras Kerajaan Negeri adalah parti lokal dan teras kepada Kerajaan Persekutuan adalah parti nasional.


“Kedua, hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah pada tahun 2012 berada dalam parti atau gabungan parti nasional, maka mereka terikat dengan keputusan gabungan parti nasional yang menentukan pendirian pengundian di Parlimen,”

Tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page