Terintidon juara pertandingan bola sepak NATESA Kadamaian 2023
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Terintidon juara pertandingan bola sepak NATESA Kadamaian 2023

22 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pasukan Terintidon dinobatkan juara selepas menewaskan lapan pasukan lain dalam Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Zon Ulu Woriu, Kadamaian Kota Belud.


Dengan kemenangan itu mereka menerima hadiah wang tunai RM800, piala iringan dan medal.


Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di Padang Layu Kg.Nahaba, di sini, hari ini.


Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah itu adalah dianjurkan Persatuan Bolasepak NATESA Kota Belud melibatkan lima buah kampung iaitu Kg.Togudon, Kg.Terintidon, Kg.Tolungan, Kg.Nahaba dan Kg.Sayap (NATESA).


Tempat kedua pula dimenangi oleh Pasukan Kg.Sayap dan ketiga Pasukan Kg.Nahaba.


Pertandingan itu adalah antara aktiviti sempena sambutan Krismas di Zon Ulu Woriu, sebelum acara-acara keagamaan dalam rumah ibadat dan jamuan makan Krismas di setiap kampung masing-masing.


Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata aktiviti kesukanan seumpama itu perlu diteruskan bukan sahaja untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat tetapi mengcungkil bakat-bakat di kalangan belia khususnya di Mukim Ulu Woriu.


“Sebagai sokongan penganjuran kejohanan ini supaya menjadi acara tahunan belia di Mukim Ulu Woriu, saya akan menyumbang sejumlah RM10,000 bermula tahun depan,” katanya dan menambah sebelum ini beliau menyalurkan sumbangan sejumlah RM9,000 untuk menjayakan kejohanan itu.


Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan RM3,000 untuk pembelian dua mesin pemotong rumput seperti yang diperlukan oleh belia kampung itu.

bottom of page