top of page

Terus hormati perbezaan berbilang kaum dan bangsa - Hajiji

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 1 min read

28 Februari 2026


TAMPARULI: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu rakyat agar terus menghormati perbezaan antara satu sama lain bagi memperkukuh ikatan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.


“Perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat,” kata.


Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pesta Angpau 2026 anjuran Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 buah persatuan Cina lain di Dewan Tun Hamdan, di sini, malam tadi.


Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.


Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong program-program yang memperkukuhkan perpaduan rakyat, keharmonian antara kaum, serta pembangunan sosial dan budaya, seiring dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.


“Pesta Angpau ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat mampu membawa manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.


Ketua Menteri turut mengulangi harapan beliau agar rakyat terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi untuk memperkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat serta kelancaran pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.


“Saya juga mahu masyarakat Tionghua untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam membawa pembangunan di negeri ini,” katanya.


Hajiji berkata Pesta Angpau adalah satu platform penting untuk memelihara, meneruskan dan berkongsi budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua kepada seluruh rakyat.


Malah, usaha ini turut membuka ruang untuk budaya tempatan dikenali di peringkat yang lebih luas, termasuk ke peringkat antarabangsa, katanya.


“Lebih membanggakan, penganjuran pesta ini turut menggalakkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan identiti Sabah yang terkenal sebagai negeri yang aman, harmoni dan penuh toleransi.


“Inilah kekuatan sebenar kita, kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page