Tiada virus Marburg di Malaysia – KKM
- Wartawan Nabalu News
- Mar 27, 2023
- 1 min read

27 Mac 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan terdapat kes virus Marburg dari Afrika di negara ini.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Malaysia masih bebas daripada virus berbahaya itu dan pemantauan ketat akan terus dilakukan di pintu masuk antarabangsa.
Beliau berkata, pelancong dari Afrika dan rakyat Malaysia yang baru pulang dari benua itu akan disaring bagi membendung virus tersebut.
“Rakyat Malaysia yang baru pulang dari Afrika jika mempunyai gejala segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital kesihatan terdekat jika tahap kesihatan ketara merosot,” katanya.
Virus Marburg adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan demam berdarah dan kematian sehingga 88 peratus.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malawi mengeluarkan amaran mengenai virus Marburg yang telah meragut lima nyawa di wilayah barat laut Kagera, Tanzania.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan tiada vaksin atau rawatan anti virus yang diluluskan untuk merawat virus Marburg setakat ini.
Comments