Tiga Ahli Baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Dilantik Agong
- nabalunews
- 5 hours ago
- 2 min read

6 Mei 2025
PUTRAJAYA: Tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa sehingga 25 April 2028.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Katanya, secara keseluruhan JKMR terdiri daripada tujuh ahli, tiga daripadanya masih dalam tempoh lantikan manakala seorang lagi dilantik semula sebagai Pengerusi.
“Tiga ahli JKMR baharu itu terdiri daripada Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
“Semua individu yang dilantik terdiri dalam kalangan Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang mewakili parti kerajaan serta parti pembangkang.
“Manakala Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dilantik semula sebagai Pengerusi bagi tempoh yang sama,” katanya.
Selain itu, tiga ahli sedia turut menerima pelantikan semula membabitkan Ahli Dewan Rakyat Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.
Surat cara pelantikan disampaikan Anwar dan disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Menurut SPRM, ahli JKMR berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek berkaitan masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.
“JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengenai perjalanan suruhanjaya ini akan fungsi mengikut Akta SPRM 2009.
“Selain itu, JKMR juga dikehendaki mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM dan ulasan LPPR,” katanya.
Justeru itu, katanya, pelantikan ahli JKMR itu diharap dapat membantu memenuhi harapan masyarakat terhadap kebebasan, kecekapan, keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti SPRM dalam penunaian fungsinya.
Comentarios