Tiga Maut Dalam Kemalangan Lahad Datu
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

24 November 2025
LAHAD DATU: Tiga maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Dewata, Pondok Ketam, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia 39 hingga 56 tahun maut dilaporkan tersepit di dalam kereta Toyota Innova sehingga terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.25 petang.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Berdasarka laporan, kereta Toyota Innova yang dinaiki mangsa bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Kunak manakala Lori Treller yang membawa muatan 30 tan kernel sawit dari arah bertentangan.
“Kereta yang dinaiki mangsa bertembung dengan lori berkenaan sebelum diseret sejauh kira-kira 30 meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat empat mangsa di dalam kenderaan Toyota Innova dan tiga disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM manakala seorang lagi cedera parah.
“Tindakan pasukan bomba mewujudkan ruang kerja dan seterusnya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas RTA.
“Pemandu lori treler dilaporkan selamat dan mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dengan menaiki Ambulans KKM.
“Semua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya,
Menurutnya, setakat ini punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis,” katanya.


















Comments