Tiga Pengedar Kecil-Kecilan Dadah Ditahan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 1 min read

15 Mei 2025
LAHAD DATU: Tiga lelaki warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah kecil-kecilan ditahan dalam operasi serbuan di Kampung Ubi, Jalan Kenangan, di sini, semalam.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu turut berjaya merampas dadah dipercayai jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM8,063.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, semua suspek berusia 27 hingga 48 tahun itu turut didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, ketika ditahan, pasukan operasi berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 73.30 gram.
“Pasukan operasi turut berjaya merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala seorang lagi negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan , serta hukuman tambahan bagi penyalahgunaan dadah,” katanya.
Sehubungan itu, Jimmy berkata, pihak polis akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah dadah demi kesejahteraan rakyat.
Comentarios