top of page

Tiga rumah di Kg Baru Pasir Putih dan satu blok rumah kongsi pekerja di Balung Kokos musnah terbakar

nabalunews

22 Oktober 2024 


TAWAU: Tiga rumah jenis separuh kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Lorong 4B Melur, Kampung Baru Pasir Putih, di sini, awal pagi, hari ini.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 1.19 pagi dan mengerahkan sepasukan 20 pegawai dan anggota serta empat jentera ke lokasi.


Menurutnya, pasukan tiba di lokasi pada jam 1.32 pagi dan segera melakukan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran 500 kaki dan lima pancutan dari sumber air jentera dan pili Bomba.


"Pasukan berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak, namun tiga rumah berkeluasan 30 X 50 kaki persegi setiap satu musnah terbakar 100 peratus," katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Jemishin berkata, kebakaran terkawal pada jam 2.29 pagi sebelum pihaknya menamatkan operasi pada jam 4.21 pagi.


Sementara itu dalam kejadian berasingan di Kampung Balung Kokos, di sini, sepasukan 15 pegawai dan anggota serta empat jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan jam 8.06 pagi.


"Kebakaran di lokasi sejauh 43 kilometer itu membabitkan satu blok rumah pekerja tiga pintu berkeluasan 70 X 50 kaki persegi musnah sepenuhnya," katanya.


Pihaknya berjaya mengawal kebakaran pada jam 8.57 pagi dan menamatkan operasi pada jam 9.23 pagi.


Jemishin berkata, kedua-dua insiden itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page