Tiga Rumah Musnah Terbakar
- nabalunews
- 5 minutes ago
- 1 min read

6 Mei 2025
TAWAU: Tindakan pantas pasukan bomba mengawal api kebakaran berjaya menyelamatkan 47 rumah daripada musnah dalam kejadian di Kampung Baru, Batu 2, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, hanya tiga rumah satu tingkat jenis separuh kekal dilaporkan musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.17 pagi.
Katanya, sepasukan 25 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah untuk membantu.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 185 meter persegi setiap rumah yang musnah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman terus dilaksanakan menggunakan tiga aliran sepanjang 60 meter dengan empat pancutan dari pili bomba dan water tanker,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak dan menyelamatkan 47 rumah berhampiran kawasan kebakaran.
“Jumlah keseluruhan rumah di kawasan perumahan ini ialah sebanyak 50 rumah dan hanya tiga rumah terbakar.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.04 pagi dan kerja-kerja memadamkan sisa-sisa bara api terus dijalankan oleh pasukan bomba.
Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 7.11 pagi selepas dipastikan tiada lagi kemerbahayaan lain.
Comments