Timbalan Ketua Wiramuda STAR letak jawatan, keluar parti
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 30 Julai – Muhammad Raiyan Fung Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Setiausaha Bahagian STAR Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, serta meletakkan keahlian parti itu, berkuat kuasa 26 Julai lalu.
Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya atas sebab-sebab peribadi dan demi kepentingan masa hadapannya, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan beliau semalam.
Raiyan berkata, sepanjang penglibatannya bersama STAR, beliau amat menghargai segala peluang, kepercayaan dan pengalaman yang diberikan oleh parti sepanjang tempoh memegang kedua-dua jawatan berkenaan.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan, kepimpinan parti di semua peringkat serta seluruh ahli yang telah memberikan kerjasama dan sokongan padu.
Dalam kenyataan sama, Raiyan mendoakan agar STAR terus maju dan berjaya dalam memperjuangkan aspirasi rakyat serta mencapai semua matlamat yang ditetapkan.











