top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tindakan Adun Melalap keluar Warisan tidak mengejutkan



29 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony keluar dari Parti Warisan bukan perkara yang mengejutkan.


“Saya bersimpati kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan hasratnya berikutan kes mahkamah yang dihadapinya.


“Warisan kekal kukuh dan berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada perjuangan parti untuk membela nasib seluruh rakyat di negara ini khususnya di Sabah.


“Sebagai sebuah parti yang mewakili pelbagai kaum dan agama, Warisan tidak mengambil pendirian parokial yang hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja. Ini adalah hala tuju Parti Warisan,” kata Shafie dalam kenyataan media, hari ini.


Shafie berkata, sejak parti itu ditubuhkan, Parti Warisan lantang bersuara memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 sehinggalah pindaan Perlembagaan dilaksanakan baru-baru ini untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.


Malah katanya, Warisan akan terus berjuang untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak yang belum lagi dikembalikan seperti pengagihan kekayaan yang saksama, kadar royalti minyak yang lebih baik dan hak wilayah Sabah ke atas pelantar benua.


“Alasan untuk keluar parti kerana Warisan tersasar dari perjuangan asal, hanya kerana melebarkan sayap ke Semenanjung, adalah tidak benar kerana pada mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum ini dan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan (2020) pada 12 Disember lalu, seluruh Ahli Majlis Tertinggi dan ahli parti menyokong penuh langkah itu pada perhimpunan tersebut.


“Keputusan untuk melebarkan Parti Warisan ke Semenanjung adalah satu langkah untuk menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia. Jelas pada pilihan raya Melaka dan Sarawak jumlah rakyat yang keluar mengundi hanya sekitar 60 peratus - satu kadar yang rendah.


“Ini menunjukkan ramai pengundi mahukan pilihan parti yang lebih baik yang mampu membawa perubahan untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya.


Dalam sidang media, Peter berkata sesebuah negeri patut ditadbir oleh parti politik setempat menurut negeri masing-masing.


Bagaimanapun Shafie berkata, ini bercanggah dengan tindakannya untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada parti nasional PPBM, Umno, PAS, MCA, Gerakan dan MIC serta parti Kadazandusun-Murut - STAR Sabah, PBS dan PBRS serta parti tempatan SAPP.


“GRS diketuai oleh seorang ahli parti nasional PBBM (Bersatu) maka keputusan Kerajaan GRS ditentukan oleh ketua partinya di peringkat nasional.


“Keputusan Peter untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan GRS hanya akan memecah-belahkan lagi rakyat Sabah dan masyarakat di pedalaman.


“Tindakan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim, juga mendukacitakan kerana terpengaruh dengan Peter yang menyebabkannya mengambil keputusan tergesa-gesa,” kata Shafie.

Comentarios


bottom of page