Tindakan tegas diambil tangani salah guna nama, logo UMS di media sosial
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

27 Mac 2026
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengambil tindakan susulan bagi menangani isu penyalahgunaan nama dan logo universiti di platform media sosial.
Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, tindakan itu dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan isu berkenaan ditangani dengan segera dan berkesan selain memelihara integriti universiti.
Menurutnya, pihak universiti telah melaksanakan beberapa pemantauan berterusan terhadap kandungan serta akaun berkaitan, selain tindakan melalui saluran bersesuaian termasuk aspek perundangan.
“Pada masa sama, UMS turut memperkukuh saluran komunikasi rasmi universiti sebagai rujukan utama bagi memastikan maklumat yang dikongsi adalah tepat, sahih dan memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, UMS sentiasa menghargai keterlibatan dan keprihatinan warga pelajar dalam menyuarakan pandangan serta menyumbang kepada pembangunan universiti dan masyarakat.
Bagaimanapun, katanya identiti universiti merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak.
“Sehubungan itu, sebarang perkara berkaitan hal ehwal pelajar termasuk penyampaian kenyataan yang mewakili universiti disarankan melalui saluran rasmi universiti dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS bagi memastikan penyampaian yang lebih tersusun, tepat dan berkesan.
“Sebagai Naib Canselor, saya menyeru seluruh warga UMS untuk terus mengamalkan komunikasi yang berhemah, berfakta, saling menghormati dan mematuhi peraturan, selaras dengan nilai universiti sebagai Brain of Borneo,” katanya.
Tambah beliau, UMS akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus kekal inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya merujuk kepada saluran rasmi UMS bagi mendapatkan maklumat yang sahih.















Comments