TSH Kunak Didenda RM80,000 Atas Dua Pertuduhan Pencemaran Alam Sekitar
- nabalunews
- Mar 16
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
16 Mac 2026
TAWAU: Mahkamah Sesyen Tawau pada 12 Mac lepas menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM80,000.00 terhadap TSH Kunak Palm Oil Mill Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemprosesan kelapa sawit, selepas syarikat tersebut mengaku bersalah atas dua pertuduhan pencemaran alam sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974.
Syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(1), AKAS 1974 iaitu melanggar syarat lesen yang ditetapkan. Bagi pertuduhan pertama, syarikat didapati melanggar syarat lesen No. 7(i) kerana membenarkan pelepasan efluen dengan bacaan BOD3 (Biochemical Oxygen Demand) melebihi parameter yang dibenarkan. Manakala pertuduhan kedua pula melibatkan pelanggaran syarat lesen No. 7(ii) akibat pelepasan efluen dengan kandungan Pepejal Terampai (Suspended Solids) melebihi had yang ditetapkan.
Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, pihak pendakwaan telah membangkitkan fakta pemberat hukuman dengan menekankan bahawa tertuduh merupakan pesalah berulang bagi kesalahan seumpama itu. Perkara ini telah diberi pertimbangan oleh mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman.
Selepas meneliti hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak termasuk rayuan mitigasi daripada pihak tertuduh, mahkamah memerintahkan denda RM45,000.00 atau lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM35,000.00 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua. Jumlah keseluruhan denda sebanyak RM80,000.00 telah dijelaskan sepenuhnya oleh pihak syarikat pada hari yang sama.
Keputusan ini mengukuhkan komitmen Jabatan Alam Sekitar dalam memastikan setiap pihak bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.















Comments