top of page

Tujuh Bergaduh Di Restoran Ditahan Polis

  • nabalunews
  • Apr 8
  • 1 min read


8 April 2025


TAWAU: Tujuh pelanggan sebuah restoran di Jalan Haji Karim, di sini, ditahan pihak berkuasa selepas terbabit dalam satu insiden pergaduhan, Ahad lalu.


Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 5.45 pagi itu dikatakan melibatkan pergaduhan antara dua kumpulan yang makan di restoran berkenaan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pemilik restoran berkenaan.


Katanya, susulan itu, semua individu terlibat berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun berjaya ditahan untuk membantu siasatan lanjut.


“Pemilik restoran berkenaan membuat laporan polis ekoran kejadian turut mengakibatkan beberapa barangan di premis berkenaan rosak.


"Susulan laporan diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau melancarkan operasi mengesan suspek yang terlibat," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, semua tujuh suspek berjaya ditahan dalam beberapa serbuan berasingan melibatkan kedua-dua kumpulan.


"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara mereka yang juga berada dalam keadaan mabuk.


"Hasil semakan rekod lampau mendapati tiga daripada mereka memiliki rekod kes berkaitan jenayah dan dadah," katanya.


Champin berkata, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 kanun yang sama kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page