Tumpas Penjualan Ketum di Kampung Bongkud, Dua Suspek Ditahan
- nabalunews
- Feb 23
- 1 min read

23 Februari 2026
RANAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau membongkar kegiatan penjualan ketum di Kampung Bongkud selepas menahan dua orang suspek lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan pada petang semalam.
Dalam operasi pertama sekitar jam 2 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Ranau yang diketuai oleh Inspektor Abdul Fatah Qasim telah menahan seorang suspek berusia 37 tahun. Hasil pemeriksaan menemukan satu karung guni berisi daun ketum seberat 1.4 kilogram, selain rampasan sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan tersebut.
Kira-kira sejam kemudian, suspek kedua berusia 49 tahun diberkas dalam serbuan berasingan di lokasi yang sama. Dalam serbuan jam 3 petang itu, polis merampas 18 botol plastik 1.5 liter berisi cecair dipercayai air ketum yang disimpan di dalam sebuah peti sejuk. Turut dirampas ialah sebuah tong gas dan dapur memasak.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. Beliau berkata, kesemua rampasan dan suspek dibawa ke IPD Ranau bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Superintenden Mursalin turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang ini demi kesejahteraan masyarakat di daerah Ranau.















Comments