Tun Musa hadiri ceramah Mufti Menk
- nabalunews
- May 2
- 1 min read

2 Mei 2026
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin, antara tetamu kehormat yang menghadiri ceramah “Mufti Menk Live in Sabah: ‘Broken but Beloved’” yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, pada Khamis.
Mufti Ismail Menk, pendakwah antarabangsa dari Zimbabwe, yang terkenal dengan pendekatan dakwah sederhana, menyampaikan ceramah bertemakan “Broken but Beloved” dengan mengupas isu ujian kehidupan, konsep keampunan dalam Islam serta kepentingan memelihara hubungan dengan Allah dan sesama manusia.
Beliau menekankan bahawa setiap individu pasti melalui fasa kesukaran dalam kehidupan, namun tidak harus berputus asa dengan rahmat Allah, sekali gus menyeru umat Islam agar terus memperkukuh keimanan dan bersangka baik terhadap ketentuan Ilahi.
Penganjuran program itu dilihat sebagai antara inisiatif dakwah berskala besar di negeri ini, selain menjadi platform menghimpunkan umat Islam untuk bermuhasabah dan memperkukuh perpaduan dalam suasana harmoni.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Sabah dan beberapa badan bukan kerajaan itu menghimpunkan hampir 2,000 hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, agamawan, belia serta keluarga.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif.
Program berakhir sekitar 10 malam dengan doa penutup dipimpin oleh Mufti Menk.















Comments