top of page

Tuntutan rakyat Sabah ditunai, bukti keseriusan kerajaan pusat: Mohina

  • Wartawan Nabalu News
  • Oct 9, 2023
  • 2 min read

9 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TONGOD: Janji Pakatan Harapan (PH) mengembalikan semula hak rakyat Sabah, menunjukkan keseriusan kerajaan pusat menyelesaikan tuntutan rakyat negeri ini.


Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Mohina Sidom, berkata ia termasuk cadangan untuk membentangkan usul bagi meletakkan dua wakil dari Sabah dan Sarawak sebagai ahli lembaga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Langkah itu, katanya, sekali gus membolehkan segala maklumat mengenai hasil bersih yang dikutip dari Sabah setiap tahun dapat diketahui rakyat Sabah.


“Oleh itu, semua ‘cakap-cakap’mengenai tindakan wakil rakyat PH di Sabah yang menarik semula saman pemula itu seperti yang disebarkan di media sosial adalah tidak benar.


“Kita sudah melihat ketelusan kerajaan pusat hari ini membantu menangani isu mengenai tuntutan rakyat Sabah. Kalau dulu tiada siapa tahu hasil yang dikutip dari Sabah, tapi apabila langkah ini diambil, kita semua akan dapat maklumat,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Roti/ Bun Zon Entilibon di Kampung Simpang Entilibon, semalam.


Turut hadir ialah Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan, Alsa Sunsing.


Kursus anjuran Pergerakan Wanita UPKO Kinabatangan itu disertai 28 wanita.


Mengenai kursus itu, Mohina berkata, ia adalah usaha UPKO bahagian untuk menyediakan asas kepada wanita menjadi usahawan kecil-kecilan, sekali gus menjana pendapatan keluarga.


Katanya, pelbagai agensi di bawah kerajaan termasuk menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan dana kepada wanita untuk mengembangkan perniagaan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).


“Apabila saya ke Semenanjung, saya lihat ramai usahawan wanita yang sudah mendapat manfaat daripada agensi ini. Daerah kita dikenali termiskin di Malaysia, jadi inilah cara wanita boleh keluar dari kepompong kemiskinan.


“Ini cara kita. Biarpun UPKO adalah parti politik, tapi ia progresif yang bermaksud bukan mahu berpolitik sahaja, tapi dalam masa yang sama, kita tumpu kepada khidmat masyarakat,” katanya.


Pada majlis itu, Mohina yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan turut menyerahkan watikah pelantikan kepada enam ketua cawangan yang baharu dilantik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Entilibon.


PDM Entilibon adalah antara yang memiliki paling ramai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut dengan setakat ini UPKO mempunyai 11 cawangan di kawasan itu.


Mohina turut memberi peringatan kepada ketua cawangan di kawasan itu agar menjalankan tugas dengan penuh integriti sekali gus memberi imej yang baik kepada parti.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page