Turun padang jumpa rakyat bina halatuju Penampang agenda utama Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Turun padang jumpa rakyat bina halatuju Penampang agenda utama Ewon

Ewon bersama para penyokongnya.

5 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mempunyai halatuju pembangunan di Penampang termasuk membangunkan daerah ini sebagai “second city to Kota Kinabalu.


Selain itu beliau juga mahu mewujudkan satu Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang.


“Halatuju pembangunan saya akan dipandu oleh input-input daripada rakyat Penampang di mana saya mahu memperbanyakkan sesi libat urus bersama rakyat dan program turun padang untuk merumuskan penyelesaian terbaik kepada keperluan pembangunan di Penampang.

“Saya ingin melihat Penampang dibangunkan sebagai “second city to Kota Kinabalu” kerana daerah ini berada di lokasi terbaik ditambah dengan pelbagai potensi ekonomi dan perkhidmatan untuk rakyat.


“Di peringkat jentera perkhidmatan awam kerajaan, kita mahu semua agensi dan jabatan kerajaan menyediakan kualiti perkhidmatan ke taraf “pembandarayaan” Penampang kerana bukan sahaja rakyat asal yang menikmati kualiti perkhidmatan tersebut, tetapi juga para pelancong dan pelabur yang datang ke Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas penamaan calon di Pusat Kebudayaan Penampang, di sini, hari ini.

Ahli-ahli UPKO Kadamaian turut hadir memberikan sokongan padu kepada Ewon.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata jawatankuasa tindakan khas yang akan diwujudkan itu penting bagi memantau pelaksanaan projek-projek berimpak besar termasuk projek tebatan banjir, saliran air dan parit serta lebuhraya.


“Jawatankuasa itu akan memastikan syarikat pelaksana projek berskala besar seperti Pan Borneo bertanggungjawab membaiki saliran parit akibat kerja-kerja pembinaan jalan raya.

“Selain itu ia juga bertujuan memastikan perkhidmatan dan bantuan pasca banjir atau pembayaran pampasan akibat pengambilan tanah untuk projek-projek awam dilaksanakan dengan telus dan adil.


“Dengan adanya jawatankuasa itu, kita dapat memastikan kekerapan penyelenggaraan parit atau longkang dan mengemukakan syor memperdalam atau membina semula parit-parit lama yang telah dibina berpuluh tahun lepas,” katanya.


Ewon berkata, perancangan mewujudkan jawatankuasa khas itu antara jalan penyelesaian masalah-masalah yang dikemukakan rakyat Penampang kepadanya melalui program bertemu rakyat.

“Sepanjang berinteraksi dengan rakyat Penampang, saya maklum dengan keperluan agar hospital penuh dan sekolah menengah baharu dibina di Penampang.


“Perkhidmatan keselamatan juga dicadangkan untuk dinaiktaraf terutamanya polis daerah.


“Masalah banjir sungai, banjir longkang dan kesesakan jalan raya merupakan masalah yang semakin meruncing di Penampang.


“Oleh itu saya berpendapat satu Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang perlu ditubuhkan sebagai penyelesaian masalah itu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ada isu-isu di luar kawalan jawatankuasa khas itu, maka menjadi tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk mengangkat isu-isu tersebut ke Dewan Rakyat ataupun Kabinet Kerajaan.


“Saya juga berpendapat ‘dashboard’ umum berkenaan status semasa pelaksanaan projek-projek dan penyelesaian masalah-masalah rakyat di Penampang perlu dibangunkan agar rakyat mendapat maklumat dan seterusnya memberikan input-input susulan,” katanya.

bottom of page