Ucapan Sempena Ulangtahun Ke-31 UPKO
- nabalunews
- May 3
- 7 min read

2 Mei 2025
SICC, Kota Kinabalu
Salam Progresif, Salam Perpaduan, Salam MADANI dan Salam Maju Jaya.
Pertama sekali saya mengucapkan penghargaan terima kasih di atas kehadiran rakan-rakan pimpinan tertinggi dan ahli-ahli Parti UPKO yang hadir pada malam ini.
Juga saya menghargai kehadiran rakan-rakan daripada parti-parti Kerajaan Perpaduan yang hadir sama meraikan sambutan ulangtahun Parti UPKO ke-31.
Saya ucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana di atas penganjuran sambutan ulangtahun ini.
Saudara dan saudari,
Saya baru balik daripada tugasan khas di Vatican mewakili Kerajaan Malaysia memberi penghormatan terakhir kepada Pope Francis dan seterusnya menghadiri upacara pengkebumian. Tugasan khas ini merupakan satu pengiktirafan kepada penyertaan UPKO dalam Kerajaan Persekutuan, penghormatan kepada hubungan diplomatik Malaysia dengan Holy See serta penonjolan toleransi dan sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.
Membaca, mendengar dan melihat legasi Pope Francis kepada masyarakat dunia terutama wacana dan pesanan beliau, berlegar pada pemikiran saya apakah yang kita mahu tinggalkan kepada generasi negara kita sepanjang berkepimpinan melalui Parti UPKO. Apakah inspirasi, motivasi dan teladan yang kita boleh perolehi daripada legasi Pope Francis.
Sepanjang berada di Vatican dan Rome, saya menelaah keberadaan kita dalam kepimpinan negara, menginsafi halatuju, berikhtibar daripada sejarah. Sebilangan pihak mungkin merasakan parti kita kerdil, tetapi kita meyakini akan sumbangan dan peranan kita menyerlah pada waktunya.
Saudara dan saudari,
Parti UPKO di bawah teraju ke-Presiden-an Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Seri Panglima Madius Tangau ada legasi yang kekal sehingga hari ini.
Semasa UPKO dipimpin oleh Tan Sri Bernard pemerkasaan aspirasi masyarakat Momogun menyerlah. Sehingga hari ini, bahasa Kadazandusun terus diajar di sekolah-sekolah kebangsaan dan universiti awam, institusi-institusi strategik seperti Majlis Hal Ehwal Anak Negeri, Kursi Pengajian Bahasa Kadazandusun, Yayasan Bahasa Kadazandusun, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun, Institute for Indigenous Economic Progress ditubuhkan sehingga ke hari ini. Isu-isu Bumiputera Bukan Melayu dibincang dan ditangani termasuk yang membawa kepada pembinaan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri, pembinaan bangunan- bangunan Mahkamah Anak Negeri dan penyukatan tanah anak negeri (PANTAS) di bawah makmal khas Anak Negeri oleh Kerajaan Persekutuan.
Semasa UPKO dipimpin oleh Datuk Seri Madius, Kerajaan Sabah telah memberi pengiktirafan kepada cuti Christmas Eve dan pemakaian baju bermotifkan etnik Sabah selepas beliau mengangkat perkara ini ke kabinet. Penubuhan Sabah Invest yang bertujuan menjadi one stop agency pelaburan-pelaburan luar ke Sabah juga menjadi legasi beliau. Transisi Parti UPKO daripada beridentiti Momogun kepada kemajmukan etnik progresif juga berlaku semasa pimpinan beliau.
Mari kita berikan penghargaan kepada kedua-dua Presiden ini dan semua pimpinan Parti UPKO di bawah teraju Tan Sri Bernard dan Datuk Seri Madius.
Saudara dan saudari,
Dalam Konvensyen UPKO tahun lepas, saya membawa kita semua kepada sebab dan tujuan kita berada dalam Parti UPKO. Halatuju Parti mesti berasaskan kepada 17 tujuan dan matlamat penubuhan Parti UPKO.
Jika ada yang bertanya, ‘saya sudah menjadi ahli UPKO selama 31 tahun atau sekian lamanya, but what is there for me?’ Maka jawapan saya, you were part of UPKO legacy for without you being party member, there will be no UPKO.
Tetapi jika kita menjawab persoalan itu dengan ekspektasi pulangan kepada diri sendiri, maka mungkin kita silap bertempat, melainkan kita mahu berbangga mendukung dasar-dasar dan amalan-amalan Parti yang baik dan mulia.
Sebab itu sebaik dipilih mewakili Parti UPKO dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan, saya memulakan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP) iaitu memberi fokus tambahan kepada penyelesaian masalah dan isu dinamik di Malaysia Timur iaitu di Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan fokus sedia ada Kementerian di seluruh negara.
Melalui pendekatan dasar ini yang dipandu dengan tujuan dan matlamat Parti, kita memperkenalkan beberapa inisiatif termasuklah memperbanyakkan perkhidmatan Kementerian dan Agensi-Agensi di pelusuk kedua-dua negeri, memperkenalkan pemberian geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu BEEP Plus, memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Skim Pembiayaan Usahawan Kraf di bawah TEKUN Nasional, memperkenalkan projek Tamu Desa, memperkenalkan projek rintis Ehsan@KUSKOP oleh Yayasan Bank Rakyat serta melantik wakil-wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Pengarah agensi-agensi Kementerian.
Dalam Parti juga, kita memperkenalkan Dasar Satu Bahagian, Satu Persatuan, Satu Koperasi, Satu Success Story kerana kita mesti menjadi Parti yang berupaya mencetuskan inspirasi dan motivasi, selain tegas berprinsip dalam perkara-perkara yang menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sebagai Presiden UPKO hari ini, saya tidak mahu memberi banyak arahan, kerana saya memilih untuk lebih banyak bekerja. We lead by our commitment! Saya memberi ruang yang seluas-luasnya kepada seluruh pimpinan Bahagian bagaimana menterjemah dasar semasa Parti selagi ianya berlandaskan lunas yang betul.
Saudara dan saudari,
Saya dan Yang Berhormat Datuk Seri Madius merupakan antara plaintif Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah yang telah mengambil tindakan perundangan Originating Summon (OS) kepada Kerajaan Persekutuan susulan Warta Pemberian Khas yang dikeluarkan pada April tahun 2022 dan menarik OS ini pada September 2023 dengan kebenaran mahkamah untuk boleh memfailkan semula.
Ada pihak yang memperlekehkan keputusan kita, tapi hari ini saya ingin tegaskan bahawa saya telah isytiharkan dalam mesyuarat terawal Kabinet Persekutuan tindakan perundangan OS ini dan meminta supaya perkara-perkara yang berkaitan dengan OS dibincang dan ditangani. Kesemua plaintif juga telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Mentei.
Sepanjang tempoh sehingga September 2023 tersebut, perkara-perkara yang berkaitan dengan OS tersebut ditangabi dan diputuskan oleh Kerajaan;
1) Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipersetujui untuk dipinda bagi memasukkan wakil rasmi Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak dilantik supaya pungutan hasil oleh LHDN berada dalam pengetahuan kedua-kedua Kerajaan.
2) Perlantikan saya menjadi menganggotai Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 bagi membolehkan saya mengambil bahagian dalam perbincangan-perbincangan mengenai MA63 yang mencakupi pemberian khas dan hak 40% Sabah.
3) Keputusan menaikkan pemberian khas daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta dengan warta baharu tahun 2023 sekaligus menggantikan warta tahun 2022 yang kita bawa ke mahkamah melalui OS.
4) Keputusan bahawa kadar pembayaran khas RM300 juta tersebut hanyalah penyelesaian interim dan tidak kekal serta boleh dikaji semula setiap tahun dan warta baharu akan dikeluarkan bagi setiap kadar pembayaran khas interim yang dipersetujui di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah;
5) Sasaran Jawatankuasa Teknikal untuk memuktamadkan isu pemberian khas kepada Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak dalam tempoh satu tahun dari Julai 2023 hingga Julai 2024.
Keputusan-keputusan inilah yang kita pertimbangkan untuk menarik semula OS pada bulan September 2024. Harus diingat bahawa mahkamah juga memberi kebenaran untuk kesemua plaintif memfailkan semula OS sekiranya tidak berpuashati dengan hasil perundingan dan pelaksanaan yang dilaksanakan.
Apa yang saya katakan semasa pilihanraya umum tahun 2022 bahawa kita tetap teruskan OS ini walaupun PH menjadi Kerajaan sememangnya betul kerana kita hanya menarik OS ini pada bulan September 2023 iaitu selepas hampir satu tahun PH menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan BN, GPS, GRS dan parti-parti lain.
Saya ingin katakan kepada ahli-ahli Parti dan rakyat Sabah, bahawa kerana OS yang dimulakan oleh UPKO dan PH Sabah itulah keputusan-keputusan penting telah dapat dipercepatkan antaranya pindaan Akta LHDN dan peningkatan pemberian khas sebagai penyelesaian interim yang kini berjumlah RM600 juta pada tahun ini. We were part of this, sesuatu yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Malah 9 daripada 13 perkara berkaitan tuntutan MA63 yang telah selesai sepenuhnya berlaku semasa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri hari ini, YAB Dato Seri Anwar Ibrahim di mana Presiden UPKO sekarang berada dalam kabinet beliau. UPKO members, be proud of this, bahawa kita telah menjadi sebahagian daripada penyelesaian tuntutan-tuntutan ini yang tidak dapat diselesaikan bertahun-tahun lamanya sebelum ini.
Sudah tentu kita akan terus memainkan peranan aktif secara strategik untuk baki tuntutan-tuntutan yang selebihnya.
Saudara dan saudari,
Tahun ini merupakan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah bagi penggal ini. Parti UPKO sebagai komponen PH Sabah sudah tentu akan mengambil bahagian dalam PRN ini dengan wawasan untuk menang kerusi tambahan selain mempertahankan kerusi di Kadamaian.
Sementara perundingan dalaman PH Sabah dan perbincangan tidak rasmi dengan gabungan lain terus berlangsung, UPKO mesti bersiap siaga menjadi pemain pasukan rakyat Sabah. Keputusan kita mesti berlandaskan kepada tujuan dan matlamat penubuhan Parti, berpandukan kepada akal budi dan rasional yang strategik dengan memberi fokus kepada masa depan Sabah dan rakyatnya.
Kita sudah 62 tahun menganggotai Persekutuan Malaysia. Tempoh ini cukup lama untuk menginsafi kemajuan infrastruktur, kemajuan ekonomi, kemajuan tadbir urus, kemajuan kerjasama serta kemajuan kualiti sikap kita di Sabah.
PRN ini bukan persaingan tentang siapa yang boleh berteriak dengan lebih kuat, bukan persaingan emosi yang sensasi, bukan persaingan kelemahan siapa yang paling banyak. PRN ini harus menjadi pengukur kepada perpaduan rakyat Sabah, perpaduan pimpinan parti-parti politik yang ada di Sabah.
Dalam pertembungan hubungan perdagangan antarabangsa dan geopolitik, rakyat Sabah mesti bijak menilai kepentingan perpaduan. Sebab itu UPKO, sepertimana dalam matlamat penubuhan Parti kita, harus bekerjasama dengan parti-parti yang berkongsi wawasan dan aspirasi yang sama, tidak hanya dengan parti-parti Sabah tetapi juga dengan parti-parti nasional.
Dalam perundingan-perundingan yang akan akan berlangsung kelak, UPKO akan menyatakan pandangan dan pendirian serta menjadi advokasi kepada perpaduan. Pada tahun 1963, Sabah memutuskan untuk menganggotai Persekutuan Malaysia, maka mari kita perbaiki dan bina negara ini bersama-sama! Perwakilan pimpinan Sabah mesti terus menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan sepertimana aspirasi MA63.
Untuk kita perbaiki dan bina negara ini, kita juga harus perbaiki dan bina terlebih dahulu sense of belonging rakyat Sabah terhadap Kerajaan Sabah sendiri. Perkara-perkara yang menjadi keprihatinan terkait sense of belonging rakyat majmuk Sabah seperti komposisi dalam perjawatan perkhidmatan awam negeri, perlantikan di agensi-agensi dan badan-badan berkanun, pemberian biasiswa, kualiti jentera penyampaian Kerajaan Sabah, hubungan antara agama, perundangan-perundangan negeri mesti diperkasa dan diperkemaskan terlebih dahulu. Semua ini memerlukan kesatuan dan perpaduan politik semua parti yang ada di Sabah.
Pendekatan konfrontasi tidak akan menguntungkan Sabah dan tidak akan membantu masa depan Sabah. Yang penting bagaimana perpaduan besar politik Sabah itu menjadi aset untuk berunding perkara-perkara besar yang diperlukan oleh rakyat Sabah samada yang tercakup dalam MA63 atau yang perlu dimasukkan dalam Rancangan Pembangunan Malaysia.
Saudara dan saudari,
Rasanya memadai sehingga inilah dahulu ucapan saya untuk malam ini. Kerana Parti UPKO tidak hanya meraikan ulangtahun penubuhan yang ke-31 pada tahun ini, tetapi pasti akan ada lagi 31 tahun yang seterusnya.
Untuk kita raikan setiap ulangtahun, mari kita terus berbangga. Kerana ada parti yang kita boleh panggil rumah kita, keluarga kita. Rumah yang ada jiran tetangga, menghormati, bertoleransi, bekerjasama dan berpadu dengan jiran-jiran tetangganya. Kerana kita tidak mahu menjaga rumah kita sahaja, tetapi menjaga dan membangun keseluruhan kejiranan kita. Tetapi untuk membangun kejiranan itu, kita pastikab rumah ini rapi dan mulia.
Kalau ada yang mengatakan parti kita ini kerdil, maka senyumlah sahaja dan kita teruskan tanggungjawab dan peranan kita yang menyumbang dan memberi kesan besar kepada rakyat kita.
Kalau ada yang memperlekehkan usaha-usaha kita, maka senyumlah sahaja dan kita teruskan pelayanan dan perkhidmatan kita kepada rakyat dan negara kerana itu bererti kita berada di hadapan daripada mereka.
Kalau ada cakap-cakap yang mengatakan kita ini bukan pemain utama, maka senyumlah sahaja dan katakan lihat pada badan manusia, setiap kecil besar organ yang diciptakan ada fungsi dan peranannya.
Kalau ada cakap-cakap yang tidak berapa baik, maka senyumlah sahaja dan teruskan berbuat baik. Pimpinan UPKO dan ahli-ahli UPKO harus menjadi teladan poltik yang baik. Kebijakan kita mesti bermula dengan kebaikan. Kebaikan mesti berupaya mencetus perpaduan. Perpaduan harus menjadi nadi kerjasama. Kerjasama mesti berlandaskan keihlasan. Supaya pada akhirnya kita boleh berbangga saya berada di dalam UPKO atas sebab dan tujuan yang betul.
Selamat menyambut ulangtahun UPKO ke-31 dan tahniah kepada saudara YB Senator Datuk Nelson Angang dan jawatankuasa pelaksana sambutan malam ini. Semoga kita semua diberkati oleh Tuhan Yang Maha Esa.
Salam kasih dan terima kasih.
Comments