UDA Holdings laksana program CSR di 14 sekolah kawasan Penampang, Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

UDA Holdings laksana program CSR di 14 sekolah kawasan Penampang, Kadamaian


Ewon menyampaikan sumbangan UDA Holdings kepada salah seorang penerima, turut kelihatan Nordin (kiri).

31 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares; Back to School 2023 @ Sabah di sini, hari ini.


Sebanyak RM60,000 diperuntukkan bagi program yang memanfaatkan seramai 449 pelajar dari 14 buah sekolah di dua kawasan iaitu Penampang dan Kadamaian.


Setiap pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah, bekas bekal makanan, alat tulis dan subsidi pakaian seragam sekolah untuk persiapan bagi sesi persekolahan yang baharu.

Penerima sumbangan terdiri daripada 149 pelajar dari kawasan Penampang iaitu dari Sekolah Kebangsaan Longkogungon, Sekolah Kebangsaan Terian, Sekolah Kebangsaan Buayan dan Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon.


Manakala 300 pelajar lagi adalah dari 10 buah sekolah di kawasan Kadamaian.


Majlis penyerahan sumbangan kepada 149 pelajar dari kawasan Penampang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di Sekolah Kebangsaan Tampasak Togudon.


Sempena program ini, UDA turut menambahbaik tandas di sekolah tersebut.

Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, inisiatif UDA itu mencerminkan komitmen Kementerian dan agensi dalam membantu komuniti memerlukan.


“Usaha seumpama ini juga harus dijadikan contoh serta menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan mahupun syarikat swasta yang lain untuk menyantuni komuniti kurang bernasib baik,” katanya.


Sementara itu Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA Sr Mohd. Salem Kailany berkata, Program UDA Cares; Back to School 2023 pada tahun ini memberi pendekatan baharu dengan menyantuni komuniti di Sabah.


“Program tahunan ini turut diadakan di Johor, Pulau Pinang dan Kedah. Penganjuran program ini adalah langkah proaktif UDA bagi menyumbang kembali kepada komuniti yang memerlukan di seluruh Malaysia bagi meringankan beban mereka untuk membuat persiapan kembali ke sekolah pada bulan Mac akan datang.

“Usaha ini juga selari dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti seterusnya dalam meniupkan semangat kepada semua pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu,” katanya.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Hartanah dan Teknikal Kumpulan UDA Datuk Nordin Murat dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA Radziah Mohamed Fadzil.


Sumbangan kepada 300 pelajar di kawasan Kadamaian pula bakal disampaikan oleh Ewon di Sekolah Kebangsaan Tamu Darat esok (1 Februari).

bottom of page