Ugut Jiran Dengan Pisau
- nabalunews
- Jul 20, 2025
- 1 min read

20 Julai 2025
TAWAU: Seorang lelaki yang mengugut jiran menggunakan pisau selepas mencalarkan kereta mangsa ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Ria 3, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian jam 8.27 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun dikatakan menyedari keretanya diconteng dan dicalarkan oleh lelaki terbabit.
Bagaimanapun, sebaik ditegur, lelaki berusia 44 tahun terbabit terus bertindak agresif dan mengacukan pisau terhadap mangsa.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superitendan Champin Piuh berkata, suspek yang mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa turut mengugut untuk mencederakannya.
Katanya, mangsa merasa bimbang dengan keselamatannya terus membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan.
“Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Tawau, kira-kira jam 3.15 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya memberkas suspek.
“Suspek yang juga jiran mangsa ditahan di kediamanmya dan pihak polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian ugutan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, hasil semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes mengikut Akta Pencegahan Dadah (APD) dan Akta Dadah Berbahaya (ADB).
Sehuhungan itu, Champin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan mahupun ancaman terhadap keselamatan awam.
“Polis menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang insiden jenayah atau perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin,” katanya.


















Comments