top of page

UMS Anjur Bengkel Pengawetan dan Pendigitalan Ikan, Sokong Penyelidikan Biodiversiti

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

14 Julai 2025


KOTA KINABALU: Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel Pengawetan dan Pendigitalan Ikan selama tiga hari bermula 8 Julai lalu.


Ia bertujuan untuk memperkukuh kapasiti saintifik dalam penyelidikan iktiologi dan pendigitalan spesimen.


Profesor Madya Dr. Evan S.H. Quah berkata, bengkel itu telah menghimpunkan seramai 17 orang peserta daripada pelbagai agensi negeri dan kebangsaan di seluruh Malaysia, termasuk Taman-Taman Sabah, Jabatan Perikanan, Institut Penyelidikan Marin Borneo dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal dalam teknik pengawetan ikan yang tepat secara saintifik serta menggalakkan penggunaan teknologi pendigitalan terkini.


“Pendekatan ini bukan saja meningkatkan akses dan analisis data spesimen, malah turut menyumbang kepada pemahaman yang lebih tepat dalam taksonomi ikan.


“Ia seterusnya menyokong penyelidikan biodiversiti berkualiti tinggi dan memperkukuh kerjasama antara institusi.

“Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Tan Heok Hui, seorang ahli iktiologi terkemuka dunia dan Kurator Bahagian Ikan di Muzium Sejarah Alam Lee Kong Chian, Universiti Nasional Singapura,” katanya semasa sesi penutupan bengkel, Khamis lalu.


Quah berkata, Tan merupakan pakar dalam bidang taksonomi, biogeografi dan filogenetik ikan air tawar Asia Tenggara serta telah menerangkan lebih daripada 140 spesies baharu sepanjang kerjayanya.


Katanya, antara sumbangan penting beliau ialah The Borneo Suckers, sebuah karya rujukan utama dalam sistematik ikan Gastromyzon yang endemik di Borneo.


Sementara itu, Quah turut menekankan kepentingan bengkel ini dalam memupuk minat dan membina kepakaran tempatan dalam penyelidikan biodiversiti dan pemuliharaan spesies.


“Sabah mempunyai sejarah yang kaya dalam kajian iktiologi yang bermula sejak tahun 1800-an apabila naturalis John Whitehead mula mengumpul spesimen semasa ekspedisinya ke Gunung Kinabalu.


“Borneo merupakan habitat kepada sekitar 680 spesies ikan air tawar, dengan hampir separuh daripadanya adalah spesies endemik.


“Di Sabah saja, terdapat kira-kira 150 spesies. Maka, adalah amat penting untuk kita melabur dalam pengawetan dan dokumentasi yang betul bagi memastikan pemuliharaan jangka panjang spesies-spesies ini,” katanya.


Menurutnya, bengkel itu sejajar dengan usaha berterusan Sabah untuk memajukan pemuliharaan biodiversiti serta menggalakkan penerokaan saintifik terhadap ekosistem air tawar yang unik di negeri ini.

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page