top of page

UMS Bantu Tingkat Potensi Agripelancongan Menerusi Kolaborasi Penternakan Lebah Kelulut Lestari

  • nabalunews
  • 11 hours ago
  • 2 min read

25 Julai 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pertanian Lestari telah memeterai satu perjanjian kerjasama bersama industri tempatan bagi penyelidikan berkaitan pembangunan penternakan lebah kelulut lestari untuk agripelancongan.


Perjanjian kerjasama itu dimeterai bersama VKL Enterprise dalam satu majlis menandatangani Menorandum Perjanjian (MoA) antara kedua-dua pihak di UMS baru-baru ini.


UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor menandatangani dokumen MoA tersebut, manakala VLK Enterprise diwakili Pengarah Syarikat, Sharizan Abdul Rahim.


Dekan Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad dalam satu kenyataan ringkas menjelaskan, kerjasama menerusi MoA itu merupakan projek geran padanan industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertajuk ‘Sustainable kelulut farming and premium honey branding with the ‘Apiary App’,.


Katanya, ia adalah satu inisiatif yang turut menyentuh usaha penyelidikan penghasilan produk madu tempatan berkualiti yang diyakini oleh para pengguna tempatan dan luar negara.


“Projek yang melibatkan tujuh ahli penyelidik ini bakal melibatkan penyaluran ilmu dan kepakaran pasukan penyelidik tentang ternakan lebah.


“Selain itu, bantuan pakar dari UMS juga akan membantu pihak syarikat menganalisis kualiti madu dan pembangunan aplikasi penggredan madu yang kini sedang dibangunkan oleh Prof Madya Dr. Farrah Wong dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ),” katanya.


Dalam pada itu, Sharizan ketika berucap pada majlis berkenaan memaklumkan, pembangunan ternakan lebah kelulut lestari akan dilaksanakan di kawasan seluas 0.25 ekar yang terletak di Kampung Silou, Jalan Matan Kituntul, Ranau, yang dijangka akan menjadi tarikan baharu aktiviti agripelancongan.


“Kerjasama antara UMS dan VKL Enterprise juga akan membantu pihak syarikat menghasilkan madu kelulut tempatan yang unik kepada kawasan tanah tinggi”


“Seterusnya, projek ini juga mampu memberi manfaat kepada pihak industri dan penduduk Daerah Ranau yang merupakan kawasan tumpuan para pelancong tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.


Selain Abdul Hamid dan Farrah Wong, projek yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Suzan Benedick itu turut melibatkan ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari FPL, antaranya Dr. Salumiah Mijin, Dr. DK. Norhajijah AK. Mohiddin, Bellericter Binjamin dan Mark Wong Kui Liang.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page