UMS dan Universitas Brawijaya Perkukuh Kerjasama Akademik dan Penyelidikan Serantau
- nabalunews
- Jul 17, 2025
- 2 min read

17 Julai 2025
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Brawijaya (UB), Indonesia, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan serantau.
MoU berkenaan ditandatangani pada satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS dan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dan Rektor, Prof. Dr. Widodo.
Kasim berkata, pemeteraian MoU itu bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara dua institusi utama di rantau ini.

Katanya, ia melambangkan kerjasama strategik antara dua universiti yang bermula menerusi pemeteraian Surat Hasrat (Letter of Intent) antara fakulti berkaitan, dan seterusnya berkembang menjadi hubungan akademik yang kukuh.
“Pelbagai inisiatif telah berjaya dilaksanakan termasuk program pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan bersama, serta penglibatan dalam kuliah dan syarahan akademik.
“Antara kolaborasi yang telah direalisasikan ialah Brawijaya International Student Mobility Award 2024, UBStars 2023 dan 2024, Program Mobiliti Staf Antarabangsa di kedua-dua universiti, Program 3-dalam-1 bagi tahun 2023 dan 2024 serta penerbitan bersama dalam jurnal akademik bertaraf antarabangsa,” katanya.
Kasim berkata, UMS yakin bahawa kerjasama tersebut akan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua universiti, malah kepada komuniti rantau ASEAN secara keseluruhannya.
“Semoga hubungan yang kita bina hari ini akan terus berkembang kukuh dan menjadi contoh kepada jaringan kerjasama pendidikan tinggi antarabangsa,’’ katanya.
Sementara itu, Rektor Universitas Brawijaya, Prof. Dr. Widodo turut menyatakan komitmen UB untuk memperluas kolaborasi dalam pelbagai bidang pengajian dan penyelidikan, khususnya dalam isu perubahan iklim, kelestarian marin dan biodiversiti.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Ir. Rosalam Sarbatly; Wakil Rektor Bidang Perancangan, Kerjasama daInternasionalisasi UB, Prof. Dr. Andi Kurniawan.















Comments