top of page

UMS Lancar Dapur Siswa, Sokong Kebajikan dan Kesejahteraan Mahasiswa

  • nabalunews
  • 21 minutes ago
  • 2 min read

ree

10 Disember 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melancarkan Dapur Siswa UMS, baru-baru ini, sebagai inisiatif kebajikan terbaharu yang menyediakan ruang selamat dan kondusif bagi pelajar memasak, mengurus perbelanjaan serta memastikan akses kepada makanan seimbang.

Perasmian Dapur Siswa yang turut bersempena dengan ulang tahun ke-31 UMS telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor di Dewan Serbaguna, Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM).


Dalam ucapan perasmiannya, Kasim menegaskan bahawa kesejahteraan pelajar merupakan asas kecemerlangan akademik di UMS.

ree

“Dapur Siswa bukan sekadar kemudahan memasak, tetapi adalah satu intervensi kebajikan untuk memastikan tiada lagi pelajar UMS yang berlapar atau berdepan kesukaran mendapatkan makanan seimbang.


“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang inklusif, sejahtera dan berjiwa manusiawi,” katanya.


Menurut beliau, Dapur Siswa UMS ditubuhkan bagi menangani cabaran food insecurity yang dihadapi sebahagian mahasiswa, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan, sejajar dengan komitmen UMS untuk memperkukuh kesejahteraan pelajar serta menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), terutamanya SDG 2: Zero Hunger dan SDG 3: Good Health and Well-being.


Kasim turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang utama serta warga kampus yang menyokong kempen “1 Staf, 1 Kampit Beras”, yang berjaya menggerakkan solidariti kampus demi membantu mahasiswa yang memerlukan.


Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin memaklumkan penubuhan Dapur Siswa UMS yang pertama itu telah digerakkan oleh Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dan merupakan usaha bersama pelbagai jabatan, kolej kediaman, mahasiswa serta rakan strategik industri.


“Dua Dapur Siswa telah diwujudkan sebagai permulaan di Kampus Induk, dan InsyaAllah kemudahan ini akan diperluas ke UMS Kampus Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.


“Usaha ini amat signifikan dalam membantu pelajar mengurus kehidupan harian dengan lebih baik serta memberi tumpuan penuh kepada pembelajaran,” ujar beliau.

Penubuhan Dapur Siswa itu mendapat sokongan padu daripada rakan strategik UMS, termasuk Sabah Electricity, KTI Development Sdn Bhd, Yayasan Buruh, Jurukin Sdn Bhd, Courtyard Hotel 1Borneo, Yayasan Al Jauhar dan Dong Sin Food Sdn Bhd.


Kemudahan tersebut turut disokong melalui kerja ubah suai oleh Jabatan Pembangunan & Penyelenggaraan (JPP), serta penyediaan operasi dan pemantauan oleh PNRF, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, kolej kediaman dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).


Hadir sama pada majlis perasmian tersebut Pegawai Utama dan Kanan Universiti, Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol; dan Presiden MPP Sesi 2025/2026, Allen Paul Justinus Situ.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page