top of page

UMS Lepas 2,197 Benih Ketam Bakau Di Kota Kinabalu Wetland

nabalunews
5 days ago
2 min read

18 September 2026


KOTA KINABALU - Institut Marin Borneo (IMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Sabah dan Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS) telah melepaskan 2,197 benih ketam bakau (Scylla tranquebarica) dalam satu acara di Kota Kinabalu Wetland Ramsar Site (KKWRS), baru-baru ini bagi menyokong pemuliharaan biodiversiti marin dan kelestarian ekosistem paya bakau.


Majlis perasmian pelepasan benih ketam itu disempurnakan bersama oleh Timbalan Pengarah Perikanan (Pembangunan) Jabatan Perikanan Negeri Sabah, Irman Isnain yang mewakili pengarah jabatan; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) IMB UMS, Prof. Madya Dr. Juanita Joseph yang mewakili dekan institut itu; dan Setiausaha Kehormat SWCS, Azalene Amelia Kamal Quadra yang mewakili presiden persatuan berkenaan.


Acara kemuncak program bermula dengan penyerahan 2,197 benih ketam kepada SWCS selaku pengurus tapak Ramsar itu, sebelum benih berkenaan dilepaskan secara rasmi smi ke ke kawasan ekosistem pava bakau.


Terdahulu, Juanita dalam ucapannya berkata, ketam bakau memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan rantaian makanan ekosistem paya bakau, selain menyokong kelestarian populasi spesies itu di Sabah, khususnya di bahagian pantai timur.


Katanya perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi memberi tekanan kepada populasi ketam bakau, sekali gus menjadikan usaha pemuliharaan dan pemulihan sumber perikanan semakin penting.


"Ancaman perubahan iklim, eksploitasi berlebihan dan kemerosotan habitat semula jadi telah memberi tekanan yang hebat kepada populasi spesies ini.


"Oleh itu, inisiatif pelepasan benih pada hari ini bukanlah sekadar acara simbolik, tetapi merupakan satu langkah proaktif dan saintifik ke arah kelestarian sumber perikanan negeri.


"Benih-benih ketam berkualiti yang dihasilkan melalui kepakaran dan kerjasama antara hatcheri IMB dan Pusat Pembenihan Ikan Marin Sabah (PPIMS), Jabatan Perikanan Negeri Sabah ini kini dikembalikan ke habitat asalnya bagi menyokong pemulihan populasi semula jadi," katanya


Pemilihan KKWRS sebagai lokasi pelepasan bertepatan dengan peranannya sebagai kawasan pemuliharaan ekosistem paya bakau di tengah bandar.


Ekosistem paya bakau di kawasan itu menyediakan habitat asuhan (nursery ground) yang sesuai untuk anak ketam berlindung dan membesar, sekali gus menyokong kelangsungan hidup spesies berkenaan.


Dalam pada itu, kejayaan penganjuran program dan pelaksanaan projek penyelidikan menerusi inisiatif pemindahan ilmu (knowledge transfer) itu turut disokong oleh kerjasama berterusan serta kemudahan yang disediakan Jabatan Perikanan Negeri Sabah.


UMS juga komited untuk memperluas jaringan kerjasama berkenaan bagi meneruskan usaha penyelidikan dan pemuliharaan sumber marin pada masa hadapan.


Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Pusat Akuakultur IMB UMS, Prof. Madya Dr. Annita Yong Seok Kian; pengarah program, Dr. Audrey Daning Tuzan; delegasi kepimpinan Jabatan Perikanan Negeri Sabah; serta anggota Jawatankuasa Saintifik SWCS, Alex Yong Su Fen, Renee Chin Nyet Yin dan Dr. Dayang Nur Sakinah Musa.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page