UMS Memperkuat Peranan Sebagai Pemacu Ilmu Melalui PBAKK 2026

28 September 2026
KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkuat perananya sebagai pemacu ilmu dan rujukan akademik di rantau Borneo menerusi penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026, baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penganjuran PBAKK bukan sahaja memperkukuh budaya membaca, malah membuka ruang kepada pembangunan intelektual dan ekonomi setempat.
"Selain menggalakkan budaya membaca, seiring dengan Dekad Membaca Kebangsaan, PBAKK turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi setempat terutamanya dalam industri buku, ekonomi kreatif dan sektor pelancongan pendidikan," katanya.
Majlis Perasmian dan Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman.
Tambah Kasim, penglibatan UMS dalam penganjuran pesta buku itu selari dengan aspirasi universiti untuk menjadi pusat pencambahan intelektual utama di kepulauan Borneo.
"Sejajar dengan wawasan kita untuk terus menjadi pemacu ilmu dan rujukan akademik di rantau ini, penganjuran PBAKK menzahirkan komitmen mampan terhadap slogan keramat universiti kita, iaitu UMS The Brain of Borneo.
"Kita mahu UMS terus unggul sebagai pusat pencambahan intelektual utama yang memandu tamadun ilmu pengetahuan di seluruh kepulauan Borneo ini," katanya.
Tambah beliau, UMS mahu terus memainkan peranan dalam memandu perkembangan ilmu pengetahuan di samping membina jaringan perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Sempena penganjuran PBAKK 2026 Anugerah Buku Borneo (ABB) turut menjadi antara pengiktirafan penting yang mengetengahkan sumbangan golongan penulis, karyawan, penyelidik dan penerbit di Sabah serta Borneo.
"ABB 2026 merupakan satu bentuk pengiktirafan tertinggi bagi menghargai para penulis, karyawan, penyelidik dan penerbit di Sabah dan Borneo yang telah mendedikasikan usaha mereka dalam menyumbang khazanah intelek yang tidak ternilai harganya," ujar Kasim.
Antara penerima ABB 2026 ialah Danny Wong Tze Ken, (Anugerah Buku Terbaik Kategori Borneo) dan Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah; Raymond Majumah (Anugerah Buku Terbaik Kategori Sabah); Jaya Anak Ramba (Anugerah Penulis Buku Terbaik Kategori Borneo) serta Ramli Dollah (Anugerah Penulis Buku Terbaik Kategori Sabah).
Sementara itu, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei memenangi Anugerah Penerbit Buku Terbaik Kategori Borneo manakala Penerbit UMS memenangi Anugerah Penerbit Buku Terbaik Kategori Sabah.















Comments