top of page

UMS Pacu Aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya Melalui Ekosistem Inovasi Berimpak

  • nabalunews
  • 17 hours ago
  • 2 min read

ree

22 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memacu aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui pembangunan ekosistem inovasi berimpak tinggi yang melibatkan penyelidik, pelajar, industri dan komuniti setempat, selaras dengan peranannya sebagai universiti peneraju di rantau Borneo.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi penganjuran Grand Finale Sabah Festival of Ideas (SFOI) dan Ekspo Kecemerlangan Rekacipta (EXCOCIPTA) 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapa dalam ucapannya berkata, pembangunan inovasi merupakan nadi kemajuan negara kerana ia berupaya membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan daya saing serta menambah nilai kepada ekonomi negeri dan negara.

ree

“Malaysia MADANI dan SMJ tidak akan tercapai tanpa inovasi. Ia adalah teras kemajuan dan pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS, baru-baru ini.


Tambahnya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited memperkukuh peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi, termasuk memastikan hasil penyelidikan dan idea anak tempatan dikomersialkan serta dimanfaatkan secara meluas.


“Dengan usaha berterusan semua pihak, Sabah mampu muncul sebagai hab inovasi serantau yang bukan hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi sebagai pencipta dan pengeluar penyelesaian inovatif tempatan yang boleh dipasarkan ke seluruh dunia,” jelasnya.


Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata UMS amat menghargai kepercayaan KPT yang memilih universiti ini sebagai peneraju Festival of Ideas peringkat negeri Sabah.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.


“Penganjuran SFOI dan EXCOCIPTA 2025 menghimpunkan lebih 465 hasil inovasi dan idea kreatif dari lima zon utama Sabah iaitu Keningau, Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan Tuaran.


“Ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, penyelidik dan usahawan muda.


“Kejayaan ini membuktikan bahawa ekosistem inovasi di Sabah berada pada landasan kukuh,” katanya.


Kasim turut menekankan komitmen UMS untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI dan SMJ, khususnya dalam memperkasa modal insan, penyelidikan berimpak tinggi serta inovasi mampan untuk kemajuan bersama.


“Dengan sinergi strategik antara akademia, industri dan komuniti, kita mampu melahirkan gelombang inovasi yang mengubah landskap ekonomi serta mendefinisikan semula masa depan pembangunan negara,” ujarnya.


Program anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS), dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) itu turut melibatkan pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Rekacipta (PEREKA), Inovasi STEMQuest Ignite, Inovasi Kearifan Lokal (PIKL) dan Inovasi Keusahawanan Pelajar (PIKP).


Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada para pemenang, di samping pengiktirafan kepada rakan strategik yang banyak menyumbang kepada kejayaan penganjuran program berimpak tinggi tersebut.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page