top of page

UMS, Pejabat Parlimen Sepanggar Anjur Gotong-Royong Perdana Pulihkan Kawasan Terjejas Banjir di Kampung Rampayan

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

14 Januari 2026


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Sepanggar telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana bagi membantu memulihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Kampung Rampayan, Manggatal, di sini, baru-baru ini.


Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UMS dalam menyantuni masyarakat setempat, khususnya ketika berdepan bencana alam.


“Program ini menyaksikan penglibatan seramai kira-kira 300 orang pelajar UMS yang hadir bagi membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.

“Ia bagi membantu meringankan beban penduduk kampung dalam membersihkan sisa banjir serta memulihkan persekitaran agar lebih kondusif dan selamat untuk didiami, termasuk kawasan sekolah dan kemudahan awam yang telah dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.


Menurut Dr Kasim, kerja-kerja pembersihan yang dijalankan tertumpu kepada kemudahan awam, kawasan persekitaran kediaman penduduk serta lokasi-lokasi tumpuan komuniti yang terjejas akibat banjir.


Dalam pada itu, Dr. Kasim turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Parlimen Sepanggar atas sokongan padu dan kerjasama erat yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

“Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pejabat Parlimen Sepanggar atas kolaborasi strategik ini.


“Kerjasama erat antara institusi pendidikan dan pejabat parlimen amat penting dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan lebih efisien kepada rakyat yang memerlukan.


“Program ini secara tidak langsung mengukuhkan hubungan strategik antara UMS dan komuniti Parlimen Sepanggar, selari dengan aspirasi universiti untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya.

Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Pejabat Parlimen Sepanggar, Ashim Jamat; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat; serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr. Rizal Zamani Idris.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page