top of page

UMS Perkenal Program ‘Kampus Anti-Buli’, Lancar Kempen #UMSBebasBuli

nabalunews
Aug 28, 2025
1 min read


28 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan komitmennya untuk mewujudkan kampus yang selamat, harmoni dan bebas daripada sebarang bentuk perundungan melalui pelancaran Program ‘Kampus Anti-Buli’.


Inisiatif itu diumumkan sempena Program Solidariti UMS untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, sebagai usaha memperkukuh tindakan pencegahan terhadap isu buli yang kian membimbangkan di institusi pendidikan.


Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program itu akan memberi fokus kepada pendidikan karakter, pengukuhan tindakan disiplin dan pemerkasaan budaya prihatin sesama warga kampus.

“Program ‘Kampus Anti-Buli’ merupakan tekad UMS untuk memastikan setiap pelajar dan staf merasakan kampus sebagai tempat yang selamat, dihormati dan bebas daripada ancaman buli, sama ada secara fizikal, psikologi mahupun siber.


“Marilah kita bersama menyalakan sinar harapan baru dimana kebebasan, keselamatan dan keharmonian mewarnai setiap langkah warga UMS,” katanya.


Program tersebut turut disokong dengan pelaksanaan kempen “UMS Sayang Semua’’ dan inisiatif “Speak Up, Save A Life’’ yang juga merupakan satu bentuk usaha UMS dalam memelihara keselamatan, maruah dan kesejahteraan setiap warganya.


“Bagi memperluas keberkesanan inisiatif, UMS juga melancarkan kempen digital #UMSBebasBuli yang digerakkan melalui media sosial sebagai wadah menyebarkan mesej positif, sokongan rakan sebaya dan penolakan budaya buli.


“Kempen ini menekankan bahawa suara kolektif warga kampus mampu mencetus perubahan budaya yang lebih selamat.


“Pelancaran program dan kempen ini diharap menjadi titik tolak kepada pembentukan budaya kampus yang lebih positif, selain menjadi contoh kepada institusi lain dalam usaha membanteras perundungan,” katanya.


Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidkan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Raman Nordin dan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page