top of page
  • nabalunews

UMS SAMBUT BAIK PPV IPT


3 Jun 2021 KOTA KINABALU: Pewujudan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) disambut baik oleh pihak pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, PPV IPT merupakan langkah tepat bagi mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan. “Di peringkat universiti ini, pelaksanaannya akan dikendalikan oleh pihak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS). “Untuk makluman, Kementerian Pengajian Tinggi telah menetapkan sebanyak 1,000 dos suntikan vaksin sehari kepada HUMS. “UMS sangat menghargai usaha murni ini dan berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini. KPT dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan UMS merupakan antara 19 Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi yang tersenarai dalam pelaksanaan PPV IPT. Menurut Taufiq, pengurusan universiti sebenarnya telah pun meluluskan cadangan menjadikan UMS sebagai PPV pada 25 Mei lalu. “HUMS sudah bersiap sedia memastikan proses vaksinasi dapat dilakukan dengan baik di kampus ini. “Seperti yang sedia maklum, kita sebelum ini juga telah dijadikan sebagai salah sebuah pusat ujian sampel Covid-19. “Malah sejak wabak ini melanda negara kita, HUMS sudah terlibat secara langsung dalam membantu Kerajaan Sabah untuk mengekang penularan pandemik ini. “Dengan pengalaman, kepakaran dan kelengkapan yang dimiliki, sesungguhnya UMS atau secara spesifiknya HUMS mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan,” katanya. Untuk rekod, inisiatif PPV IPT ini mampu memberikan 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan di seluruh negara.

Comments


bottom of page