UMS Tampilkan Khazanah Budaya Borneo di PBAKK 2026

28 September 2026
KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS membawa khazanah budaya, bahasa, pendidikan, seiarah dan warisan Borneo ke Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 menerusi inisiatif pewujudan Borneo Cultural and Heritage Corner (BCHC), baru-baru ini.
BCHC merupakan ruang yang menghimpunkan pelbagai aspek budaya dan warisan Borneo melalui bahan bacaan, penerbitan serta aktiviti berkaitan, selain menjadi platform memperkenalkan khazanah tersebut kepada masyarakat dan generasi muda.
Antara pengisian BCHC ialah pelancaran 25 buku kanak-kanak dalam Bahasa Kadazandusun hasil kerjasama Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran dan Kadazandusun Language Foundation (KLF).

Penerbitan 25 buku tersebut melibatkan pelajar-pelajar Program ljazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Bahasa Kadazandusun IPG Kampus Kent dengan bimbingan para pensyarah.
Majlis perasmian BCHC disempurnakan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Joseph Pairin Kitingan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata buku memainkan peranan penting dalam mendokumentasikan, memelihara dan mewariskan kebudayaan, bahasa serta tradisi etnik di Borneo kepada generasi muda.
"Budaya dan warisan Borneo sebenarnya mempunyai pertalian yang sangat erat dengan buku. Dalam sesebuah buku itu tersimpan pelbagai ilmu, pemikiran, pengalaman dan sejarah masyarakat kita," jelasnya.
"Kerjasama strategik antara pihak universiti bersama organisasi-organisasi penting seperti Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), KLF, Jabatan Muzium Sabah, Persatuan Rumpun Bajau Samah, serta pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain harus diberikan pujian yang tinggi.
"Kolaborasi murni seperti ini wajar diteruskan demi melonjakkan lagi pembangunan khazanah negeri, seiring dengan aspirasi Sabah Maju Jaya," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Sapawi.
Turut hadir, Timbalan Presiden KDCA, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah KLF, Datuk Philip Lasimbang; Pengarah IPG Kampus Kent, Dr. Norafidah Noralidi serta Pengarah Penerbit UMS, Profesor Dr. Patricia Matanjun.
PBAKK 2026 berlangsung selama lima hari bermula dari 23 hingga 27 September di Sabah International Convention Centre (SICC).















Comments