Undi Sabah gesa parti, ahli politik ubah cara berkempen
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Undi Sabah gesa parti, ahli politik ubah cara berkempen



29 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Undi Sabah menyeru dan mengesa parti-parti dan ahli-ahli politik untuk mengubah cara berkempen supaya lebih menekankan soal polisi dan bukannya memburukkan atau menjatuhkan pihak lawan.


Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Undi Sabah, hari ini, menyatakan sebagai organisasi yang memfokus kepada pemerkasaan belia Sabah melalui demokrasi, parti dan ahli politik di negeri ini harus mengubah cara berkempen.


“Demi melahirkan pengundi matang dan berfikiran kritis, parti dan ahli politik sendiri harus menampilkan kematangan politik dengan meyakinkan pengundi berdasarkan pelan dan visi bagi Sabah, serta strategi untuk merealisasikan pelan tersebut.


“Calon pilihanraya secara amnya membentangkan manifesto masingg-masing tiap kali berkempen, tetapi kandungan manifesto seringkali dilihat sebagai ‘janji kosong’.


“Oleh itu, Undi Sabah turut menggalakkan pemain politik untuk mengemukakan pelan yang realistik dan mampu dicapai untuk membantu pengundi menilai sama ada calon mampu atau tidak melaksanakan perubahan tersebut,” kata kenyataan itu.


Menurut Undi Sabah, mereka percaya bahawa parti dan ahli politik menggalas tanggungjawab besar untuk membawa diri dengan bermaruah, demi menggalakkan perbincangan politik yang lebih progresif, lebih-lebih lagi dengan pindaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik yang telah berkuatkuasa.


Katanya lagi, Sabah dan Malaysia akan melihat kemasukan pengundi baharu yang ramai pada pilhanraya seterusnya.


“Oleh itu, sudah tiba masanya menghentikan taktik tidak matang memburukkan pihak lawan dan fokus pada perbincangan politik,” katanya.


Pada 27 Julai lalu, sekumpulan ahli dari parti politik terkemuka mengedarkan risalah di pusat bandar Kota Kinabalu.


Undi Sabah mendakwa, risalah tersebut mengandungi senarai kelemahan serta khianat yang dipercayai dilakukan oleh parti yang sebelum ini menjadi sekutu mereka.


“Dari perspektif penerima, ianya dipercayai bahawa risalah itu bertujuan memburukkan satu parti dalam percubaan untuk membuat parti yang lain itu kelihatan seperti pilihan lebih baik pada mata pengundi Sabah.


“Taktik memburukkan pihak lawan memang sentiasa digunakan oleh parti mahupun ahli politik dari setiap penjuru setelah sekian lama, tetapi Undi Sabah menolak sekaras-kerasnya perbuatan sedemikian,” katanya.


bottom of page